Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Isi rumah Britain hadapi tekanan pendapatan akibat kenaikan harga tenaga

Sumber: BERNAMA
Kenaikan mendadak harga tenaga akibat ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat dijangka memberi tekanan kepada isi rumah di Britain, dengan analisis baharu menunjukkan kemerosotan taraf hidup ketika pasaran minyak global kekal tidak menentu. - Gambar hiasan/ Bernama

LONDON: Kenaikan mendadak harga tenaga akibat ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat dijangka memberi tekanan kepada isi rumah di Britain, dengan analisis baharu menunjukkan kemerosotan taraf hidup ketika pasaran minyak global kekal tidak menentu, lapor Xinhua.

Menurut laporan yang dikeluarkan pada Isnin oleh Resolution Foundation, meridian isi rumah dalam kalangan usia bekerja di Britain dijangka mengalami kerugian kira-kira 480 pound (kira-kira US$650) sepanjang tahun kewangan semasa berbanding jangkaan sebelum ini, susulan kos tenaga yang lebih tinggi meningkatkan inflasi dan menghakis pendapatan sebenar.

Menurut badan pemikir,  pendapatan isi rumah biasa yang sebelum ini diramalkan meningkat sebanyak 0.9 peratus kini dijangka menurun sebanyak 0.6 peratus, sekali gus menunjukkan kesan meluas kenaikan kos tenaga.

Pasaran tenaga global turut terjejas akibat ketegangan geopolitik yang diperbaharui. Niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat tujuh peratus kepada kira-kira US$101 setong pada Isnin selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengumumkan sekatan ke atas Selat Hormuz susulan kegagalan rundingan dengan Iran.

Laluan perairan strategik itu, yang merupakan laluan sempit penting bagi penghantaran minyak global, secara efektif kekal ditutup sejak konflik bermula, sekali gus mendorong kenaikan mendadak harga minyak dan gas serta meningkatkan kebimbangan terhadap inflasi dan pertumbuhan global.

“Walaupun terdapat harapan untuk keamanan berpanjangan, hala tuju konflik ini masih tidak menentu dan harga tenaga kekal jauh lebih tinggi berbanding sebelum perang, bermakna ramai isi rumah akan menghadapi penurunan kuasa beli tahun ini,” kata Ketua Ahli Ekonomi yayasan itu James Smith.

Resolution Foundation turut menggesa kerajaan mempercepatkan pelaksanaan pelan “tarif sosial” bagi membantu mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah, khususnya menjelang musim sejuk apabila permintaan tenaga dijangka memuncak.

--BERNAMA-XINHUA

Must Watch Video