Skip to main content

Malaysia

Saintis Malaysia terlibat kajian teknologi pesawat masa depan NASA

Sumber: MARA USA
Dr Raja Akif Raja Zahirudin terlibat dalam kajian teknologi pesawat masa depan melalui kerjasama antara Georgia Institute of Technology (Georgia Tech) serta Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA).

KUALA LUMPUR: Penglibatan seorang saintis muda Malaysia dalam kajian teknologi pesawat masa depan melalui kerjasama antara Georgia Institute of Technology (Georgia Tech) serta Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA), membuktikan kemampuan bakat negara setanding pakar antarabangsa.

Dr Raja Akif Raja Zahirudin, 33, yang kini berkhidmat sebagai Felow Pasca Doktoral di Daniel Guggenheim School of Aerospace Engineering, Georgia Tech, terlibat secara langsung dalam projek NASA RAVEN-GT (Research Aircraft for eVTOL Enabling Technologies).

Projek berkenaan memfokuskan penyelidikan pada pesawat elektrik berlepas dan mendarat secara menegak (eVTOL), iaitu satu teknologi penerbangan masa depan melibatkan pesawat elektrik yang beroperasi seperti pesawat konvensional namun berlepas dan mendarat secara menegak.

Berkongsi pengalamannya dengan Bernama, Raja Akif berkata kajiannya bertajuk “Proprotor Hover Performance and Wing Download for the RAVEN eVTOL Aircraft”  dan memfokuskan pada prestasi rotor serta interaksi komponen pesawat yang memberi kesan kepada daya tujahan semasa eVTOL berlepas dan mendarat.

“Kajian ini bertujuan menambah baik reka bentuk eVTOl agar lebih efisien dan sesuai untuk operasi pada masa depan,” katanya.

Menurut anak kelahiran Kerteh, Terengganu itu, teknologi eVTOL berpotensi menjadi alternatif kepada sistem pengangkutan sedia ada kerana mampu menawarkan perjalanan udara jarak dekat yang lebih pantas, senyap dan mesra alam, khususnya di kawasan bandar yang sesak.

“Antara cabaran utama dalam pembangunan pesawat eVTOL adalah memastikan tahap bunyi yang rendah serta kecekapan tenaga, kerana penerimaan masyarakat khususnya di kawasan berkepadatan tinggi banyak bergantung pada faktor tersebut,” katanya.

Projek yang bermula pada 2020 itu melibatkan empat penyelidik, empat fakulti akademik serta tujuh pelajar di Georgia Tech, selain kerjasama rakan industri dan penyelidik lain.

Mengimbas penglibatannya dalam penyelidikan dengan NASA, Raja Akif berkata segalanya bermula ketika beliau mengikuti pengajian ijazah doktor falsafah (PhD) di Pennsylvania State University apabila berpeluang dibimbing oleh Prof Eric Greewood yang pernah berkhidmat di NASA Langley Research Center.

“Semasa beliau (Greenwood) menyertai Pennsylvania State University pada 2020, beliau membawa geran daripada NASA Langley Research Center bagi kajian aerodinamik dan akustik rotor bertindih, sekali gus membuka peluang untuk saya terlibat dalam projek itu yang kemudiannya dijadikan tesis PhD (saya),” katanya.

Menurutnya, sejak itu beliau mula bekerjasama dengan pasukan aeroakustik di NASA Langley Research Center termasuk berkongsi metodologi kajian dan dapatan eksperimen. 

Menyifatkan penglibatannya dalam penyelidikan bertaraf global itu sebagai satu amanah untuk membawa nama negara dan membuktikan kemampuan saintis Malaysia, Raja Akif berharap reputasi yang dibinanya akan membuka lebih banyak ruang buat saintis dan jurutera Malaysia ke persada antarabangsa. 

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video