Skip to main content

Teknologi

Samsung tamatkan Samsung Mesej, pengguna beralih ke Google Messages

Aplikasi Samsung Mesej Akan Ditamatkan โ€“ Minta Pengguna Beralih Ke Google Messages
Samsung memaklumkan proses berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat, dengan sasaran penamatan sepenuhnya di Amerika Syarikat menjelang Julai 2026. -Foto Amanz

SEOUL: Samsung secara rasmi memulakan proses untuk menamatkan aplikasi Samsung Mesej (Samsung Messages) dan meminta pengguna beralih kepada Google Messages sebagai aplikasi permesejan utama pada peranti keluarannya, lapor Amanz.

Menerusi pengumuman penamatan perkhidmatan yang dikeluarkan di laman rasmi syarikat, Samsung memaklumkan proses berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat, dengan sasaran penamatan sepenuhnya di Amerika Syarikat menjelang Julai 2026.

Langkah itu dilihat sebagai usaha Samsung untuk menyeragamkan pengalaman permesejan pada peranti Android keluarannya dengan menggunakan aplikasi yang dibangunkan Google, selaras dengan peralihan industri kepada piawaian komunikasi yang lebih moden.

Perubahan tersebut bakal memberi kesan kepada pengguna peranti Samsung terkini, khususnya yang menjalankan Android 12 dan ke atas, manakala peranti lama yang menggunakan Android 11 dan versi lebih awal dilaporkan tidak terkesan buat masa ini.

Malah, beberapa model peranti baharu Samsung sejak 2024 dikesan tidak lagi menyertakan aplikasi Samsung Mesej secara terbina, sebaliknya menjadikan Google Messages sebagai aplikasi lalai.

Melalui peralihan ini, pengguna dijangka menikmati ciri-ciri moden seperti sokongan perkhidmatan komunikasi kaya (RCS), penapisan spam berasaskan AI serta integrasi kecerdasan buatan dalam pengalaman permesejan.

Sebelum ini, Samsung Mesej digunakan terutamanya bagi menguruskan pesanan ringkas (SMS) dan MMS tradisional.

Perubahan itu turut dilihat mengukuhkan kerjasama strategik antara Samsung dan Google dalam ekosistem Android.

Pengguna dinasihat untuk membiasakan diri dengan antara muka Google Messages lebih awal bagi mengelakkan sebarang gangguan komunikasi apabila penamatan perkhidmatan dilaksanakan sepenuhnya.

Must Watch Video