KUALA LUMPUR: Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) menyasarkan sehingga 10 syarikat semikonduktor tempatan bagi setiap kohort menerusi program inkubasi nasional, SemiconStart Malaysia, dalam usaha memperkukuh kedudukan negara dalam rantaian nilai global.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MTDC, Ts Mohammad Hazani Hassan berkata, inisiatif itu memberi fokus kepada pembangunan syarikat tempatan dalam segmen nilai tinggi termasuk reka bentuk litar bersepadu (IC), fotonik, MEMS dan teknologi kuantum.
“Seperti yang kita tahu, ketika ini banyak syarikat di Malaysia berada di peringkat hiliran, jadi kita mahu melihat lebih banyak syarikat tempatan bergerak ke peringkat hadapan dalam rantaian nilai semikonduktor.
“Program ini amat penting kerana kita bekerjasama dengan syarikat pemula dan mahu memberi pendedahan kepada mereka dengan rakan antarabangsa termasuk pengguna, pasaran, pemasaran, pelanggan, penasihat, pelabur serta rangkaian global,” katanya selepas majlis prapelancaran SemiconStart Malaysia yang dirasmikan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohammad Yusof Apdal dan diiringi Pengerusi MTDC, Tan Sri Abd Rahman Mamat di World Trade Centre Kuala Lumpur, Rabu.
SemiconStart Malaysia dibangunkan dengan kerjasama Silicon Catalyst UK, antara inkubator semikonduktor terkemuka dunia yang mempunyai rekod menyokong banyak syarikat semikonduktor berkembang ke peringkat global.
Melalui program itu, syarikat pemula berpeluang menerima pembiayaan sehingga RM1 juta bagi setiap syarikat selain akses kepada alat reka bentuk termaju, mentor antarabangsa, rakan strategik serta rangkaian pelabur global.
Menurut Hazani, program selama 260 hari itu disusun secara berstruktur dengan penilaian teknikal dan komersial bagi memastikan kesiapsiagaan syarikat untuk dikomersialkan di peringkat global.
Penilaian teknikal akan dikendalikan oleh Silicon Catalyst yang membawa kepakaran industri, rangkaian global serta akses kepada pelabur antarabangsa, manakala MTDC memberi tumpuan kepada impak tempatan seperti penciptaan pekerjaan dan pembangunan ekosistem.
Tambahnya, aspek bimbingan atau mentor merupakan antara komponen paling kritikal dalam memastikan kejayaan syarikat pemula yang menyertai program tersebut.
“Bulan pertama sangat penting untuk syarikat tempatan menjadi sebahagian daripada kohort ini kerana mereka perlu berinteraksi dengan mentor yang tepat.
“Mentor ini akan membantu meletakkan syarikat ke arah laluan yang membolehkan mereka mendapatkan pelaburan atau pelanggan baharu pada masa hadapan.
“Selain itu, program ini juga distrukturkan dengan jelas, dengan laluan yang ditetapkan bagi membantu syarikat pemula meningkatkan tahap mereka ke peringkat yang lebih tinggi,” ujarnya.
Beliau menjelaskan bahawa kejayaan program diukur berdasarkan keupayaan syarikat untuk menarik pelabur, mendapatkan pelanggan atau menjalin kerjasama dengan pemain industri antarabangsa.
“Bagi kami, perkara paling penting ialah syarikat dapat terlibat dengan pemain antarabangsa sama ada sebagai pelanggan pertama, rakan strategik atau pelabur.
“Jika daripada 10 syarikat itu sekurang-kurangnya lima berjaya mendapatkan pelabur, pelanggan atau rakan kerjasama, itu sudah dianggap sangat berjaya,” jelasnya.
SemiconStart Malaysia dibangunkan selari dengan Strategi Semikonduktor Negara serta komitmen Belanjawan 2026 yang memperuntukkan RM7.9 bilion bagi memperkasa tenaga kerja elektrik dan elektronik negara.
Pelaksanaan program ini dilihat sebagai langkah strategik untuk membina keupayaan domestik dalam inovasi semikonduktor, pembangunan harta intelek serta penciptaan syarikat teknologi tempatan yang mampu bersaing di peringkat global.
“Buat masa ini, kita menjangkakan sekitar 30 syarikat akan memohon, namun sasaran akhir adalah untuk memilih 10 syarikat bagi setiap kohort,” tambahnya.
Pelancaran penuh SemiconStart Malaysia dijangka berlangsung lewat tahun ini dengan permohonan dibuka kepada syarikat pemula tempatan bermula April tahun ini.