Skip to main content

Hiburan

Seniwati Asiah Tuah meninggal dunia

Asiah Tuah, Seniwati veteran
Allahyarham Asiah Tuah (foto) menghembuskan nafas terakhir dalam tidur pada usia 82 tahun di kediamannya di Gombak, pada Selasa.

KUALA LUMPUR: Seniwati veteran, Asiah Tuah, menghembuskan nafas terakhir dalam tidur pada usia 82 tahun di kediamannya di Gombak, pada Selasa.

Anak perempuannya, Wan Mahsuri Wan Ahmad Kamal, berkata tahap kesihatan Allahyarham semakin merosot sejak dua hingga tiga bulan lalu, namun beliau masih mampu berjalan dan duduk.

“Beliau (Allahyarham) lazimnya akan terjaga setiap tiga hingga empat jam sebelum kembali berehat selama satu hingga dua jam,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Menurut Wan Mahsuri, Allahyarham menghidap masalah buah pinggang tahap sederhana serta kanser rahim tahap dua sejak enam bulan lalu.

Beliau turut berkongsi pengalaman bergelar anak kepada seniwati yang banyak berjasa kepada negara serta industri hiburan tanah air sejak era sebelum merdeka.

“Allahyarham pernah berkhidmat sebelum merdeka apabila menjelajah seluruh Persekutuan Tanah Melayu untuk mengadakan persembahan sempena sambutan kemerdekaan pertama negara.

“Beliau juga antara penyanyi yang berasal dari Malaya, berbanding sebahagian penyanyi lain yang berasal dari Singapura,” katanya lagi.

Jenazah Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Ibu Kota, hari ini.

Anak kelahiran Klang, Selangor pada 1944 itu dikenali sebagai penyanyi veteran yang mencipta nama sejak era 1950-an menerusi lagu-lagu popular seperti “Kekasih Pujaan”, “Selamat Malam”, “Hidup Ibarat Mimpi” dan “Seribu Janji”.

Minat dalam bidang nyanyian mula dipupuk seawal usia 10 tahun apabila beliau menyertai Orkes Hiburan Melayu Gombak.

Sepanjang kerjaya seni, Allahyarham menghasilkan tiga album masing-masing pada tahun 1961, 1962 dan 1967.

Untuk rekod, suami Allahyarham, Wan Ahmad Kamal, merupakan penulis lirik terkenal dengan karya antaranya “Tanah Pusaka”, “Kekasih Pujaan” dan “Selamat Malam”.

Dalam catatan blog peribadi, Allahyarham turut berkongsi pengalaman mendirikan rumah tangga pada 23 September 1960 di Gombak Setia, sebelum suaminya meninggal dunia pada 27 Jun 1986.

Hasil perkahwinan itu, pasangan berkenaan dikurniakan empat cahaya mata, terdiri daripada dua lelaki dan dua perempuan, namun tiga daripadanya telah meninggal dunia.

 

Must Watch Video