Skip to main content

Bisnes

Inflasi Malaysia mereda kepada 1.4 peratus pada 2025 - DOSM

51757489928_UZIRMAHIDIN.jpg
Mohd Uzir berkata, kebanyakan negeri mencatat inflasi lebih perlahan, dengan empat negeri melebihi kadar nasional iaitu Johor (2.0 peratus), Selangor (1.7 peratus), Negeri Sembilan (1.7 peratus) dan Melaka (1.5 peratus). - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Inflasi Malaysia mereda kepada 1.4 peratus pada 2025 berbanding 1.8 peratus pada tahun sebelumnya disokong oleh pengukuhan ringgit, perbelanjaan isi rumah yang berterusan serta inisiatif kerajaan.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), inisiatif kerajaan dalam mengagihkan subsidi petrol RON95 kepada rakyat Malaysia sedikit sebanyak membantu mengekang peningkatan lanjut inflasi di negara ini.

“Kadar ini berada dalam julat inflasi yang diunjurkan Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kewangan iaitu antara 1.0 peratus hingga 2.0 peratus bagi 2025,” katanya dalam kenyataan berkaitan analisis Indeks Harga Pengguna (IHP) 2025.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata inflasi negara pada 2025 disumbangkan oleh kenaikan dalam sektor perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (1.6 peratus); kesihatan (1.2 peratus); rekreasi, sukan dan kebudayaan (1.1 peratus); pengangkutan (0.4 peratus); serta perabot, kelengkapan isi rumah dan penyelenggaraan isi rumah (0.2 peratus).

Beliau berkata kumpulan penjagaan peribadi, perlindungan sosial dan pelbagai barangan serta perkhidmatan mencatat kenaikan lebih tinggi iaitu 4.4 peratus berbanding 3.0 peratus pada 2024, diikuti insurans dan perkhidmatan kewangan (3.4 peratus), restoran dan perkhidmatan penginapan (3.2 peratus), pendidikan (2.3 peratus) serta makanan dan minuman (2.1 peratus).

Sebaliknya, beliau berkata kumpulan maklumat dan komunikasi serta pakaian dan kasut mencatat penurunan masing-masing negatif 4.3 peratus dan negatif 0.2 peratus pada 2025.

“Inflasi tertinggi sepanjang 2025 direkodkan pada Januari iaitu 1.7 peratus dan menurun kepada 1.1 peratus pada Jun, disumbangkan oleh trend yang lebih perlahan inflasi makanan dan minuman serta perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain.

“Namun begitu, trend inflasi kembali meningkat pada separuh kedua 2025,” katanya.

Mohd Uzir berkata inflasi teras meningkat 2.0 peratus pada 2025 berbanding 1.8 peratus pada 2024, dipacu oleh kumpulan penjagaan peribadi, perlindungan sosial dan pelbagai barangan serta perkhidmatan (4.4 peratus), makanan dan minuman (3.4 peratus), insurans dan perkhidmatan kewangan (3.4 peratus), serta restoran dan perkhidmatan penginapan (3.2 peratus).

Sementara itu, beliau berkata kebanyakan negeri mencatat inflasi lebih perlahan, dengan empat negeri melebihi kadar nasional iaitu Johor (2.0 peratus), Selangor (1.7 peratus), Negeri Sembilan (1.7 peratus) dan Melaka (1.5 peratus).

“Kelantan mencatat kenaikan paling rendah iaitu 0.3 peratus,” katanya.

Mohd Uzir berkata perbandingan dengan negara terpilih di ASEAN menunjukkan kadar inflasi berada dalam julat negatif 0.3 peratus hingga 7.7 peratus pada 2025.

“Laos mencatat inflasi tertinggi iaitu 7.7 peratus, manakala Brunei mencatat kadar terendah pada negatif 0.3 peratus,” katanya.

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video