Skip to main content

Teknologi

Meta ambil alih syarikat robotik ARI, perkukuh pembangunan AI

FILE PHOTO: Cars drive past a sign of Meta, the new name for the company formerly known as Facebook, at its headquarters in Menlo Park, California, U.S. October 28, 2021. REUTERS/Carlos Barria/File Photo
Menerusi pengambilalihan tersebut, pasukan pakar daripada ARI akan menyertai Meta Superintelligence Labs bagi membangunkan model AI yang berupaya melaksanakan pelbagai tugasan kompleks, termasuk kerja-kerja rumah. -Gambar fail/Amanz

MENLO PARK: Meta mengumumkan pengambilalihan syarikat robotik, Assured Robot Intelligence (ARI), sebagai langkah memperkukuh kepakaran syarikat itu dalam pembangunan kecerdasan buatan (AI) bagi robot berbentuk manusia (humanoid).

Menerusi pengambilalihan tersebut, pasukan pakar daripada ARI akan menyertai Meta Superintelligence Labs bagi membangunkan model AI yang berupaya melaksanakan pelbagai tugasan kompleks, termasuk kerja-kerja rumah, lapor Amanz.

ARI sebelum ini dikenali sebagai firma yang berjaya membangunkan model kawalan robotik yang sofistikated.

Walaupun nilai pengambilalihan itu tidak didedahkan, langkah berkenaan dilihat sebagai persediaan Meta untuk bersaing dengan gergasi teknologi lain seperti OpenAI, Amazon dan Google, yang telah lebih awal menceburi bidang robotik.

Penyepaduan kepakaran ARI ke dalam ekosistem Meta dijangka dapat mempercepatkan pembangunan teknologi robotik, termasuk penghasilan robot untuk kegunaan awam pada masa hadapan.

Setakat ini, Meta masih belum memperincikan pelan penuh berkaitan pembangunan perkakasan robotik, namun tumpuan syarikat itu terhadap pengguna umum memberi bayangan bahawa produk akhir berkemungkinan disasarkan kepada pasaran pengguna awam.

Pengambilalihan berkenaan merupakan langkah strategik Meta untuk mempelbagaikan portfolio teknologi, melangkaui perniagaan teras media sosial dan realiti maya.

Must Watch Video