MOUNTAIN VIEW: Google mengumumkan ciri baharu pada aplikasi Google Photos yang membolehkan pengguna menyimpan katalog pakaian peribadi serta menjana imej diri mereka menggayakan pakaian tersebut secara maya menggunakan kecerdasan buatan (AI).
Menerusi kemas kini yang dijangka diperkenalkan pada Jun ini, pengguna boleh mengklasifikasikan koleksi pakaian mereka mengikut kategori seperti baju, seluar, kasut dan aksesori, sekali gus memudahkan pengurusan almari digital secara lebih tersusun, lapor Amanz.
Ciri berkenaan membolehkan pengguna mencuba pelbagai kombinasi busana secara maya tanpa perlu melakukannya secara fizikal, sekali gus menjimatkan masa dan memudahkan pemilihan gaya harian.
Teknologi itu merupakan kesinambungan kepada ciri “Try On” yang diperkenalkan pada perkhidmatan Carian Google tahun lalu.
Dengan bantuan AI, Google Photos akan menjana gambaran visual yang realistik, memaparkan pengguna menggayakan pakaian pilihan daripada katalog peribadi mereka sendiri.
Langkah itu dilihat sebagai usaha Google untuk mengintegrasikan teknologi AI generatif ke dalam rutin harian pengguna, selain memberikan nilai tambah kepada fungsi penyimpanan dan pengurusan foto sedia ada.
Selain membantu penyelarasan gaya berpakaian, ciri baharu tersebut turut berpotensi memudahkan pengguna mengurus inventori pakaian secara digital, termasuk mengenal pasti item yang jarang digunakan atau sesuai dipadankan.