Skip to main content

Malaysia

Anwar arah pindaan Akta MARA diserah dalam tempoh tiga bulan

Anwar MARA 60 1_ASTRO AWANI
Anwar mahu MARA berperanan sebagai payung besar ekonomi dan pusat sehenti bagi pembangunan Bumiputera di negara ini. -Foto Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Majlis Amanah Rakyat (MARA) berperanan sebagai payung besar ekonomi dan pusat sehenti bagi pembangunan Bumiputera di negara ini.

Beliau berkata, melalui peranan baharu itu, MARA diberi amanah untuk mengelola serta menyelaras aspek pembangunan Bumiputera merangkumi penglibatan semua agensi berkaitan.

Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri turut mengarahkan supaya draf pindaan Akta Majlis Amanah Rakyat (MARA) 1966 diserahkan kepadanya dalam tempoh tiga bulan.

“TPM (Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) telah mengarahkan agar ia disiapkan sebelum akhir tahun, tetapi saya tidak perlu menunggu terlalu lama.

"Tidak perlu enam, tujuh atau lapan bulan. Beri draf kepada saya dalam tempoh tiga bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke‑60 MARA di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini.

Minggu lalu, Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan bahawa Akta MARA 1966 akan dipinda bagi menambah baik aspek tadbir urus agensi pemerkasaan Bumiputera itu.

Menurut beliau, draf pindaan akta tersebut telah siap dan kini berada pada peringkat sesi libat urus bersama pelbagai pemegang taruh.

 

Must Watch Video