Skip to main content

Malaysia

Elaun pasca cuti bersalin pendekatan holistik selari nilai Islam - MAWIM

newborn baby generic_adobe stock
Pendekatan itu dikatakan bukan sekadar dasar kebajikan tetapi pelaburan strategik negara dalam memperkukuh modal insan dan institusi keluarga yang sejahtera. - Gambar hiasan

PUTRAJAYA: Pengumuman Elaun Pasca Cuti Bersalin (EPCB) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan pendekatan holistik yang selari dengan nilai Islam sekali gus menitikberatkan kebajikan wanita, perlindungan keluarga serta keseimbangan antara kerjaya dan tanggungjawab rumah tangga.

Pengerusi Majlis Wanita Islam Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (MAWIM) Profesor Zuriati Ahmad Zulkarnain dalam kenyataan hari ini berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memelihara kebajikan wanita, khususnya golongan ibu yang kembali bertugas selepas tempoh cuti bersalin.

“Langkah ini bukan sahaja membantu meringankan beban kewangan malah turut menyokong kesejahteraan emosi dan kestabilan institusi keluarga.

“Dalam semangat Malaysia MADANI yang menjunjung nilai ihsan, kesejahteraan dan keadilan sosial, elaun ini berpotensi menjadi pemangkin kepada pembinaan ekosistem kerja lebih mesra keluarga sekali gus mengangkat martabat wanita sebagai tonggak pembangunan negara tanpa mengorbankan peranan mereka sebagai pendidik generasi,” katanya.

Zuriati berkata pendekatan itu bukan sekadar dasar kebajikan tetapi pelaburan strategik negara dalam memperkukuh modal insan dan institusi keluarga yang sejahtera.

Dalam pada itu, beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri atas keprihatinan memperkenalkan elaun tersebut menerusi agenda Kerajaan MADANI.

Pada Jumaat lepas, ketika menyampaikan amanat Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2026, Anwar berkata kerajaan akan memperkenalkan EPCB sebagai langkah progresif menyokong penyertaan wanita dalam tenaga buruh serta mengurangkan tekanan yang dihadapi ibu selepas melahirkan anak.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video