SAN FRANCISCO: INSTAGRAM dilapor sedang membangunkan ciri baharu yang membolehkan pengguna menyunting semula hantaran Stories tanpa perlu memadam dan memuat naik semula kandungan berkenaan sekiranya berlaku kesilapan, lapor Amanz.
Menerusi maklumat yang dikongsi oleh pembangun aplikasi, Alessandro Paluzzi, ciri tersebut membolehkan perubahan dibuat walaupun selepas kandungan diterbitkan.
Bagaimanapun, setiap kali suntingan dilakukan, versi asal akan dipadamkan secara automatik, manakala semua maklum balas seperti tanda suka, komen dan reaksi akan ditetapkan semula.
Ini bermakna setiap suntingan akan dianggap sebagai muat naik baharu sepenuhnya, dan bukannya sekadar perubahan kecil pada versi sedia ada.
Setakat ini, masih belum dapat dipastikan sama ada hantaran yang telah disunting akan dipaparkan dengan label “disunting” (edited), seperti yang terdapat pada ruangan komen dan mesej peribadi (direct message, DM).
Selain itu, tempoh masa yang dibenarkan untuk melakukan suntingan serta status penawaran ciri berkenaan — sama ada tersedia secara percuma atau khusus kepada pengguna berbayar — masih belum diperincikan oleh Meta.
Dalam perkembangan berkaitan, Instagram turut dilaporkan sedang menguji fungsi menukar jenis tulisan dalam ruangan sembang, bagi menawarkan lebih banyak pilihan penyesuaian kepada pengguna.