Skip to main content

Teknologi

IMAX teroka penjualan syarikat, rundingan masih di peringkat awal

Sumber: AMANZ
Bagi suku pertama 2026, IMAX melaporkan hasil susut enam peratus kepada AS$81.4 juta. Bagaimanapun, prestasi itu masih mengatasi jangkaan penganalisis. -Foto Amanz

TORONTO/NEW YORK: Syarikat teknologi hiburan global, IMAX Corporation (IMAX), dilaporkan meneroka penjualan syarikat itu dan telah mendekati beberapa firma hiburan sebagai pembeli berpotensi, lapor Amanz.

Menurut laporan Wall Street Journal, proses rundingan berkenaan masih di peringkat awal dan belum ada jaminan bahawa persetujuan muktamad akan dicapai.

Ketua Pegawai Eksekutif IMAX Rich Gelfond sebelum ini berkata syarikat itu kekal sebagai aset bernilai tinggi, sama ada sebagai syarikat tersenarai awam atau menjadi sebahagian daripada entiti korporat lebih besar.

Bagi suku pertama 2026, IMAX melaporkan hasil susut enam peratus kepada AS$81.4 juta. Bagaimanapun, prestasi itu masih mengatasi jangkaan penganalisis.

Syarikat itu turut mencatat prestasi kukuh apabila pegangan pasaran pecah panggung domestiknya meningkat kepada rekod 5.2 peratus pada 2025, manakala pegangan global naik kepada 3.8 peratus.

Format tayangan IMAX semakin popular dalam industri filem moden, antara lain melalui penggunaan meluas dalam filem arahan Christopher Nolan.

Pada peringkat awal, kekangan seperti saiz kamera yang besar serta penggunaan filem 70mm menghadkan penggunaan format itu kepada beberapa babak tertentu sahaja.

Bagaimanapun, perkembangan teknologi membolehkan penggunaan kamera IMAX secara lebih meluas, termasuk dalam filem baharu yang dijadualkan menemui penonton dalam tempoh terdekat.

Keupayaan mengenakan harga tiket lebih tinggi berbanding pawagam konvensional turut membantu meningkatkan keseluruhan kutipan pecah panggung global.

Dalam perkembangan berkaitan, syarikat hiburan lain turut dilaporkan memperkenalkan format skrin premium masing-masing bagi bersaing dalam segmen berkenaan.

IMAX yang terkenal dengan nisbah aspek unik 1.43:1 ditubuhkan pada 1968 oleh Graeme Ferguson, Roman Kroitor, Robert Kerr dan William C. Shaw.

Filem pertama menggunakan format itu ialah Tiger Child, sebuah filem pendek berdurasi 17 minit arahan Donald Brittain yang ditayangkan di Expo ’70 di Osaka, Jepun.

Must Watch Video

Advertisement