HAMILTON: Pentadbiran Trump sedang mempertimbangkan untuk melancarkan satu lagi operasi ketenteraan terhadap Iran ketika usaha diplomatik bagi mencapai perjanjian baharu masih berjalan, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik laporan pada Jumaat.
CBS News melaporkan bahawa tiada keputusan muktamad dibuat setakat Jumaat, namun persediaan bagi kemungkinan tindakan itu masih diteruskan dalam kerajaan dan tentera Amerika Syarikat (AS).
Laporan itu menyebut Presiden Donald Trump membatalkan rancangan untuk menghabiskan hujung minggu Hari Peringatan di kelab golfnya di New Jersey dan sebaliknya merancang untuk kembali ke Rumah Putih susulan apa yang disifatkannya sebagai “sitiuasi berkaitan kerajaan”.
Beberapa anggota tentera dan perisikan AS juga dilaporkan mengubah atau membatalkan rancangan cuti ketika pegawai membuat persiapan menghadapi kemungkinan konflik tercetus semula.
Laporan itu berkata pegawai pertahanan sedang menyemak senarai panggilan balik anggota di pangkalan luar negara, manakala penggiliran tentera diteruskan di seluruh Asia Barat di tengah-tengah kebimbangan kemungkinan tindak balas daripada Iran.
AS dan Iran sebahagian besarnya mengelak serangan langsung sejak gencatan senjata sementara berkuat kuasa pada April, sekali gus membolehkan rundingan tidak langsung mengenai perjanjian lebih luas diteruskan.
Jurucakap Rumah Putih Anna Kelly memberitahu CBS News bahawa Trump kekal tegas bahawa Iran tidak boleh memperoleh senjata nuklear dan memberi amaran bahawa Washington bersedia menghadapi semua kemungkinan sekiranya rundingan gagal.
Sementara itu, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran pada awal minggu ini memberi amaran bahawa sebarang serangan pada masa depan oleh AS atau Israel boleh memperluas konflik melangkaui rantau itu.
Laporan itu menyebut Tehran dijangka memberi maklum balas tidak lama lagi terhadap cadangan terbaharu AS yang disampaikan melalui Pakistan, yang bertindak sebagai perantara.
-- BERNAMA-ANADOLU