Skip to main content

Dunia

Rubio mulakan lawatan pertama ke India, perkukuh hubungan selepas sidang kemuncak AS-China

U.S. Secretary of State Marco Rubio disembarks his plane with his wife Jeanette at Netaji Subhash Chandra Bose International Airport in Kolkata, India, Saturday, May 23, 2026. Julia Demaree Nikhinson/Pool via REUTERS
Rubio turun dari pesawat bersama isterinya, Jeanette sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Netaji Subhash Chandra Bose di Kolkata pada Sabtu. - Gambar Reuters

KOLKATA: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio memulakan lawatan sulungnya ke India pada Sabtu dalam usaha mengukuhkan semula hubungan dengan rakan strategik itu, susulan sidang kemuncak mesra antara Washington dan Beijing minggu lalu.

Rubio memulakan lawatan selama empat hari itu di Kolkata, bandar utama di timur India. 

Dalam kunjungan tersebut, beliau dijadual melawat ibu pejabat Missionaries of Charity, organisasi kebajikan yang diasaskan oleh mendiang Mother Teresa.

Selepas itu, Rubio akan ke New Delhi untuk bertemu Perdana Menteri India, Narendra Modi, menurut kenyataan Jabatan Negara.

Sebelum mengakhiri lawatan pada Selasa, Rubio turut dijadual menghadiri mesyuarat menteri luar negara bagi kumpulan yang dikenali sebagai Quad, yang dianggotai Australia, India, Jepun dan Amerika Syarikat. 

Blok empat negara demokrasi itu dilihat sebagai pengimbang kepada pengaruh China di rantau Lautan Hindi.

Keanggotaan India dalam Quad sebelum ini mencetuskan rasa kurang senang Beijing, yang menyifatkan kerjasama itu sebagai usaha mengepung China.

Lawatan Rubio berlangsung ketika Presiden Donald Trump dilihat menyusun semula keutamaan dasar luar Amerika Syarikat. 

Minggu lalu, Trump mengadakan lawatan rasmi ke China dan memuji layanan yang diterimanya daripada Presiden Xi Jinping, meskipun tidak banyak pengumuman konkrit dicapai.

Dalam lawatan itu, Trump turut menggambarkan hubungan AS-China sebagai “G2”, satu istilah yang sebelum ini kurang digunakan dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan sekutu Washington yang khuatir diketepikan dalam hubungan dengan kuasa besar itu.

Rubio, yang sebelum ini menyokong hubungan rapat dengan India ketika menjadi senator, menyifatkan lawatan itu sebagai yang pertama dalam hidupnya ke negara berkenaan. 

Beliau turut ditemani isterinya, Jeanette dan dijangka melawat Taj Mahal di Agra.

Fokus kepada tenaga

Dalam kenyataan ringkas, Rubio menyifatkan India sebagai sekutu dan rakan penting, selain menyatakan hasrat Amerika Syarikat untuk meningkatkan eksport minyak ke negara itu.

Ekonomi India yang berkembang pesat amat bergantung kepada import tenaga dan turut terkesan dengan ketegangan di Asia Barat, khususnya susulan konflik melibatkan Iran yang menjejaskan laluan strategik Selat Hormuz dan mendorong kenaikan harga minyak global.

India mempunyai hubungan sejarah dengan Iran, namun dalam masa sama turut mengukuhkan hubungan dengan Israel.

Konflik tersebut juga menyaksikan Pakistan kembali memainkan peranan penting sebagai rakan Amerika Syarikat, apabila negara itu cuba bertindak sebagai pengantara dengan mengutuskan ketua tenteranya ke Tehran.

Hubungan Amerika Syarikat dengan Pakistan sebelum ini lebih rapat ketika era Perang Dingin, sebelum Washington memberi keutamaan kepada India yang dilihat sebagai rakan strategik penting dalam menghadapi kebangkitan China.

Namun, pentadbiran Trump dilihat membuka semula ruang kerjasama dengan Pakistan, yang sebelum ini memuji usaha diplomatik beliau dalam konflik singkat dengan India tahun lalu.

Dalam masa sama, terdapat ketegangan dalam hubungan Washington-New Delhi, termasuk pengenaan tarif tinggi ke atas India serta kebimbangan bahawa kebangkitan negara itu tidak seharusnya menjejaskan kepentingan komersial Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, hubungan kedua-dua negara dilihat kembali pulih selepas rundingan perdagangan dimeterai, susulan ketibaan Duta Amerika Syarikat ke India awal tahun ini. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement