Skip to main content

Teknologi

Google lancar aplikasi desktop untuk Windows

Sumber: AMANZ
Aplikasi tersebut boleh dilancarkan dengan menekan pintasan papan kekunci 'Alt+Space' yang akan membuka kotak carian untuk melakukan imbasan di web, Google Drive, aplikasi terpasang serta fail dalam komputer. -Foto Amanz

GOOGLE melancarkan aplikasi desktop Google baharu untuk pengguna Windows 10 dan Windows 11 di seluruh dunia hari ini bagi membolehkan fungsi carian diakses secara terus tanpa perlu membuka pelayar Chrome, lapor Amanz.

Aplikasi tersebut boleh dilancarkan dengan menekan pintasan papan kekunci 'Alt+Space' yang akan membuka kotak carian untuk melakukan imbasan di web, Google Drive, aplikasi terpasang serta fail dalam komputer.

Ciri tersebut dilihat menyamai fungsi 'Spotlight' pada komputer macOS yang menawarkan keupayaan carian global secara setempat.

Selain carian asas, aplikasi itu turut dilengkapi sokongan kecerdasan buatan (AI), integrasi Google Lens untuk carian imej, penterjemahan teks serta imej, selain fungsi carian kontekstual berdasarkan paparan semasa pada skrin komputer.

Pada masa ini, aplikasi desktop Google tersebut hanya ditawarkan untuk sistem operasi Windows, manakala versi bagi komputer macOS sedang dalam fasa pembangunan.

Langkah ini dilihat sebagai usaha Google untuk memudahkan akses pengguna kepada ekosistem mereka secara lebih pantas di peringkat antara muka desktop.

Sebelum ini, pengguna perlu bergantung sepenuhnya kepada pelayar web untuk menggunakan sebahagian besar perkhidmatan carian dan storan awan syarikat teknologi berkenaan.

Must Watch Video