Skip to main content

Dunia

Lelaki bersenjata lengkap ditahan berhampiran kelab golf Trump di Los Angeles - Laporan

Sean Steiner
Sean Steiner berdepan pelbagai pertuduhan termasuk penyeludupan senjata api secara haram selepas dia dilihat berkeliaran di kawasan berprestij di Los Angeles. - Foto: Los Angeles County Sheriff's Department

MOSCOW: Polis menahan seorang penduduk Amerika Syarikat (AS) yang bersenjata lengkap, Sean Steiner, selepas dia berjalan melalui sebuah kawasan kejiranan elit di Los Angeles berhampiran kelab golf milik Presiden Donald Trump, lapor Sputnik/RIA Novosti memetik akhbar New York Post.

Steiner, penduduk bandar Glendale di AS, kini berdepan pelbagai pertuduhan termasuk penyeludupan senjata api secara haram selepas dia dilihat berkeliaran di kawasan berprestij di Los Angeles dengan memakai perisai badan serta membawa pelbagai senjata, menurut laporan akhbar itu pada Selasa.

Satu daripada senjata apinya dihiasi imej Joker, watak penjahat komik popular, serta slogan berkaitan, menurut laporan itu.

Lelaki berkenaan dikesan berhampiran Trump National Golf Club Los Angeles di Rancho Palos Verdes dan ditahan ketika cuba melarikan diri dengan berlari di sepanjang jalan raya, menurut laporan itu.

Steiner juga dilaporkan mengaku melepaskan beberapa das tembakan ke udara sejurus sebelum ditahan.

Beliau memberitahu polis bahawa dia cuba “melepaskan kemarahan,” menurut New York Post.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

Must Watch Video