TOKYO: Industri pelancongan Jepun mencatat rekod tertinggi bagi bulan Mac dengan kehadiran 3.6 juta pelancong antarabangsa, meskipun berlaku kemerosotan ketara pelawat dari China serta kesan konflik di Asia Barat.
Data terbaharu daripada Pertubuhan Pelancongan Kebangsaan Jepun (JNTO) menunjukkan jumlah ketibaan meningkat 3.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu, didorong oleh musim bunga sakura serta cuti sekolah yang bertepatan dengan perayaan Easter.
Korea Selatan kekal sebagai penyumbang utama dengan 795,600 pelawat, diikuti Taiwan yang mencatat peningkatan 24.9 peratus.
Pelancong dari Malaysia dan Vietnam turut merekodkan lonjakan ketara, masing-masing meningkat hampir 45 peratus, menurut data JNTO.
Walau bagaimanapun, ketibaan pelawat dari China menjunam 56 peratus kepada 291,600 orang, susulan ketegangan hubungan diplomatik antara Tokyo dan Beijing berhubung isu Taiwan.
Dalam masa sama, konflik berterusan di Asia Barat turut menjejaskan kemasukan pelancong dari rantau berkenaan, yang merosot 30 peratus, selain mengakibatkan pembatalan penerbangan serta peningkatan surcaj bahan api bagi pasaran Eropah.
Sektor pelancongan kini muncul sebagai eksport kedua terbesar Jepun selepas industri automotif, dengan pakar menjangkakan jumlah pelancong mampu mencecah 48.6 juta menjelang akhir tahun ini jika trend pertumbuhan berterusan.