BERLIN: Google membuka pusat pembangunan kecerdasan buatan (AI) di Berlin pada Rabu, sebagai sebahagian daripada pelaburan €5.5 bilion di Jerman bagi memperkukuh infrastruktur digital dan inovasi teknologi negara itu.
Menurut Kementerian Hal Ehwal Digital Jerman, pusat berkenaan akan menghimpunkan infrastruktur pengkomputeran awan, data serta operasi pembangunan AI, selain menyediakan ruang kerjasama untuk syarikat pemula dan pusat penyelidikan tempatan.
Eropah kini berusaha mengejar Amerika Syarikat dan China dalam pembangunan teknologi AI, ketika kedua-dua kuasa besar itu melabur besar-besaran dalam sektor berkenaan.
Pembukaan pusat AI Google ini dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh kapasiti Jerman untuk bersaing dalam teknologi masa depan.
Pelaburan itu turut melibatkan pembinaan pusat data baharu serta pengubahsuaian pejabat Google di Berlin, termasuk penambahan tiga tingkat baharu dengan bilik mesyuarat dan ruang demonstrasi.
Canselor Friedrich Merz sebelum ini menegaskan tekad kerajaan untuk memulihkan daya saing ekonomi negara melalui kepimpinan dalam teknologi.
Menteri Kewangan Lars Klingbeil pula baru-baru ini berkata Jerman perlu kembali menjadi peneraju teknologi sebagai teras kepada model ekonomi negara.
Walaupun terdapat usaha memperkukuh infrastruktur digital, pakar industri menegaskan cabaran kekal besar, termasuk kekurangan kapasiti pengkomputeran berbanding Amerika Syarikat serta peruntukan kerajaan yang masih kecil untuk pembangunan AI.
Namun, pelaburan Google dianggap sebagai perkembangan positif yang mampu mengurangkan kebergantungan teknologi Eropah.