Skip to main content

Teknologi

Apple bakal buka Siri kepada AI pihak ketiga melalui iOS 27

Sumber: AMANZ
Langkah itu membolehkan pemilik peranti menetapkan sendiri model AI pilihan mereka, berbeza dengan penggunaan ChatGPT yang kini ditawarkan secara percuma hasil kerjasama dengan OpenAI. -Foto Amanz

CUPERTINO: Gergasi teknologi Apple dilapor bakal membenarkan pembantu maya Siri menjalankan model kecerdasan buatan (AI) pihak ketiga melalui sistem operasi iOS 27 yang akan diperkenalkan kelak.

Langkah itu membolehkan pemilik peranti menetapkan sendiri model AI pilihan mereka, berbeza dengan penggunaan ChatGPT yang kini ditawarkan secara percuma hasil kerjasama dengan OpenAI.

Menurut laporan Bloomberg, pemilik peranti hanya perlu memuat turun perkhidmatan AI yang dilanggan sebelum mengintegrasikannya secara terus ke dalam sistem Siri.

Apple dijangka meraih pendapatan melalui strategi itu dengan mengambil sebahagian daripada bayaran langganan bulanan perkhidmatan AI pihak ketiga berkenaan.

Strategi AI Apple dilihat berbeza berbanding syarikat teknologi lain yang membangunkan model sendiri.

Usaha pembangunan AI kendiri menerusi Apple Intelligence sebelum ini dilaporkan kurang memuaskan sehingga syarikat itu beralih kepada model berasaskan Google Gemini.

Penganalisis industri berpendapat langkah itu merupakan satu kejayaan strategik kerana Apple tidak perlu membelanjakan berbilion dolar bagi membangunkan model sendiri, sebaliknya hanya memfokuskan kepada integrasi ekosistem.

Ciri integrasi AI pihak ketiga ini dijangka diperlihatkan secara rasmi semasa Persidangan Pemaju Sedunia (WWDC) yang dijadualkan berlangsung pada Jun ini.

Sebelum ini, Apple dilapor sedang dalam perbincangan dengan beberapa penyedia perkhidmatan AI terkemuka bagi memperluaskan pilihan kepada pengguna setianya di seluruh dunia.

Must Watch Video