Skip to main content

Malaysia

Terengganu umum Pelan Tindakan Rangsangan Ekonomi hadapi krisis bekalan global

61742370698_AhmadSamsuriMokhta.jpg
Ahmad Samsuri berkata moratorium turut diberikan kepada kira-kira 400 peminjam di bawah Skim Bantuan Modal Tani bermula bulan ini hingga April 2027, melibatkan nilai pinjaman tidak dikutip berjumlah RM2.9 juta. - Gambar fail

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu hari ini mengumumkan Pelan Tindakan Rangsangan Ekonomi Negeri Fasa 1 bagi mendepani krisis bekalan global.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam kenyataan berkata beberapa inisiatif diperkenalkan melalui pelan tersebut sebagai langkah mengukuhkan pertumbuhan ekonomi, menyokong kelangsungan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta membantu aktiviti pengeluaran padi.

Beliau berkata antara inisiatif utama ialah pemberian moratorium kepada peminjam di bawah Skim Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUTS) selama tujuh bulan, bermula Jun hingga Dis 2026.

"Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada 783 peminjam dengan nilai pinjaman tidak dikutip berjumlah RM2.1 juta.

“Selain itu, kerajaan negeri turut bersetuju menambah dana sebanyak RM2 juta pada 2026 agar lebih ramai usahawan dapat dibantu,” katanya.

Ahmad Samsuri berkata moratorium turut diberikan kepada kira-kira 400 peminjam di bawah Skim Bantuan Modal Tani bermula bulan ini hingga April 2027, melibatkan nilai pinjaman tidak dikutip berjumlah RM2.9 juta.

Beliau berkata selain itu insentif kepada pesawah akan diberikan sebanyak RM100 untuk setiap tan metrik yang dikeluarkan manakala bagi pengeluaran melebihi 10 tan metrik, insentif maksimum RM1,000 akan diberikan.

Katanya insentif tersebut dijangka memanfaatkan 4,513 pesawah dengan peruntukan RM3 juta.

“Kerajaan negeri juga akan membuat penilaian semula Jadual Kadar Harga bagi bahan binaan terpilih dan penyelarasan kos kontrak dilaksanakan dengan mengambil kira perubahan kos semasa bahan binaan yang terlibat.

“Penumpuan juga akan diberikan kepada pelaksanaan projek kecil yang berimpak tinggi dan low-hanging fruit (mudah dilaksanakan),” katanya.

Katanya kerajaan negeri juga akan melaksanakan penyelarasan semula ke atas Belanjawan 2026 berdasarkan keperluan dan strategi yang lebih bersasar ke arah pengukuhan ekonomi.

“Diharapkan inisiatif ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh pemain-pemain dalam sektor-sektor terlibat,” katanya. 

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement