Skip to main content

Sukan

UFC: Hampir 5 tahun menyepi, McGregor kembali ke Octagon menentang Holloway

[TB]_CONOR MCGREGOR vs MAX HOLLOWAY 2 UFC_IG UFC
Dunia seni bela diri campuran (MMA) akhirnya bakal menyaksikan salah satu pertarungan ulangan paling dinanti-nantikan apabila Conor McGregor dilaporkan bakal kembali ke Octagon menentang Max Holloway di acara UFC 329 pada Julai ini. - Foto Instagram/@UFC

DUNIA seni bela diri campuran (MMA) akhirnya bakal menyaksikan salah satu pertarungan ulangan paling dinanti-nantikan apabila Conor McGregor dilaporkan bakal kembali ke Octagon menentang Max Holloway di acara UFC 329 pada Julai ini.

Pertarungan yang dijangka berlangsung ketika International Fight Week di Las Vegas itu bakal menjadi kemunculan semula jaguh dari Ireland itu selepas hampir lima tahun menyepi susulan kecederaan patah kaki ketika menentang Dustin Poirier pada 2021.

Nama McGregor sememangnya tidak pernah jauh daripada perhatian dunia MMA. Bekas juara dua divisyen UFC berusia 37 tahun itu dianggap antara bintang terbesar dalam sejarah organisasi berkenaan, namun kariernya turut dibelenggu kecederaan, kontroversi dan tempoh tidak aktif yang panjang sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Bagi Holloway pula, pertarungan ini hadir dengan misi peribadi yang cukup besar.

Kali terakhir kedua-dua mereka bertemu adalah pada 2013 di UFC Fight Night 26, ketika kedua-duanya masih muda dan sedang meningkat naik dalam UFC.

Ketika itu, McGregor menewaskan Holloway menerusi keputusan sebulat suara (unanimous decision) dalam pertarungan yang kini dianggap antara pertarungan featherweight klasik UFC.

Namun perjalanan karier kedua-duanya selepas itu berubah sepenuhnya.

McGregor muncul sebagai sensasi global dan menjadi juara featherweight serta lightweight UFC selain mencetuskan salah satu rivaliti terbesar dalam sejarah MMA bersama Khabib Nurmagomedov.

Manakala, Holloway meningkat naik menjadi antara petarung paling disegani sepanjang era moden UFC yang pernah memegang kejuaraan featherweight selain memenangi gelaran BMF.

Holloway juga terkenal dengan aksi agresif dan daya tahan luar biasa, termasuk knockout dramatik ke atas Justin Gaethje di UFC 300 yang dianggap antara detik paling ikonik dalam sejarah UFC moden.

Sebagai rekod, pertarungan ulangan di antara McGregor dan Holloway itu dijangka berlangsung pada kategori welterweight iaitu berat 170 paun (77.1 kilogram), sekali gus menjadi penampilan pertama Holloway dalam divisyen tersebut.

Spekulasi mengenai pertarungan itu sebenarnya sudah berlegar sejak beberapa bulan lalu sebelum akhirnya UFC dikatakan hampir memuktamadkan perjanjian berkenaan.

Malah Holloway sendiri sebelum ini mengakui mahu 'membalas' kekalahan lamanya kepada McGregor, selain menyifatkan pertarungan tersebut sebagai peluang besar dalam kariernya.

Dalam masa sama, ramai peminat turut tertanya-tanya sama ada McGregor masih memiliki kemampuan sebenar selepas lama tidak beraksi, terutama apabila kemenangan terakhirnya dalam UFC hadir pada 2020 ketika menewaskan Donald Cerrone.

Apa pun keputusannya nanti, 'McGregor vs Holloway 2' sudah pun cukup untuk menghidupkan semula nostalgia era emas UFC iaitu pertembungan dua generasi, dua ikon, dan dua jalan karier yang akhirnya kembali bersilang selepas lebih sedekad.

Must Watch Video