SYDNEY: Sebuah pesawat Qantas terpaksa melakukan pendaratan cemas di Polinesia Perancis selepas seorang penumpang bertindak agresif termasuk menggigit kru kabin.
Penerbangan yang berlepas dari Melbourne menuju ke Dallas, Amerika Syarikat pada 15 Mei itu melencong ke Papeete susulan gangguan berkenaan, lapor CNA.
Menurut kenyataan Qantas, kapten pesawat membuat keputusan untuk mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Faa’a bagi memastikan keselamatan penumpang dan kru.
“Kami tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk tingkah laku kasar atau agresif di dalam penerbangan,” kata jurucakap syarikat itu kepada AFP.
Saksi di dalam pesawat berkata lelaki terbabit mula menjerit sebelum menyerang dan menggigit lengan seorang kru kabin ketika cuba ditenangkan di ruang udara Lautan Pasifik.
Sejurus mendarat, suspek yang merupakan warga asing ditahan oleh polis sempadan Polinesia Perancis untuk siasatan lanjut.
Kru kabin yang cedera menerima rawatan awal di hospital di Papeete dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Insiden itu menyebabkan penumpang lain terpaksa bermalam di Tahiti sebelum Qantas menyediakan penerbangan gantian ke Texas pada keesokan hari.