FRANCIS Ngannou sekali lagi membuktikan mengapa beliau masih dianggap 'raja heavyweight' dunia apabila hanya memerlukan 4 minit 31 saat untuk menumbangkan Philipe Lins menerusi knockout pusingan pertama di acara MVP MMA 1 pada Sabtu.
Bekas juara heavyweight UFC dari Cameroon itu tampil garang sejak awal pertarungan sebelum melepaskan kombinasi pukulan padu yang menjatuhkan Lins di Intuit Dome, California.
Kemenangan tersebut mengukuhkan lagi reputasi Ngannou sebagai antara heavyweight paling digeruni dalam era moden seni bela diri campuran (MMA), terutama selepas kejayaannya menumbangkan beberapa nama besar seperti Stipe Miocic, Ciryl Gane dan Cain Velasquez sepanjang kariernya.
Walaupun meninggalkan UFC beberapa tahun lalu, aura dan kuasa knockout Ngannou jelas masih berada di tahap elit dunia.
Sementara itu, satu lagi pertarungan penuh aksi menyaksikan Mike Perry menewaskan Nate Diaz menerusi 'doctor stoppage' selepas tamat pusingan kedua.
Pertarungan yang dianggap “people’s main event” itu berlangsung cukup agresif apabila kedua-dua petarung saling berbalas pukulan termasuk serangan siku sejak awal aksi.
Namun, Perry dilihat lebih dominan dengan tekanan serta serangan badan yang akhirnya menyebabkan wajah Diaz mengalami kecederaan teruk sebelum doktor menghentikan pertarungan.
Diaz yang kembali ke MMA buat kali pertama sejak meninggalkan UFC pada 2022 bagaimanapun tetap mendapat sorakan peminat menerusi gaya pertarungan lasaknya yang cukup sinonim sepanjang karier.
Acara MVP MMA 1 itu turut mencuri perhatian global apabila menghimpunkan beberapa nama terbesar dunia tempur termasuk Ronda Rousey, Gina Carano, Ngannou, Diaz dan Perry dalam satu pentas yang disiarkan secara langsung menerusi Netflix.