Skip to main content

Malaysia

Perlis perlu lahir masyarakat berilmu, berintegriti - Raja Muda

[TB]_Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin_ISTANA ARAU
Tuanku Syed Faizuddin bertitah mewakili seluruh usrah kerabat Diraja Perlis dalam menzahirkan taat setia pada Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Perlis sempena Ulang Tahun Keputeraan ke-83 Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Balairong Seri, Istana Arau, hari ini. - Gambar ihsan Istana Arau

ARAU: Kekuatan sesebuah negeri tidak hanya diukur melalui pembangunan fizikal semata-mata, sebaliknya turut bergantung kepada pembentukan masyarakat yang berilmu, berintegriti, bersatu padu serta memiliki jati diri kukuh.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, rakyat negeri ini perlu terus diperkasa dengan semangat berdaya saing, mentaliti kelas pertama dalam setiap tindakan serta nilai integriti yang tinggi.

Titah baginda, pendekatan itu penting bagi memastikan Perlis mampu melahirkan masyarakat yang progresif, berpengetahuan dan berdaya tahan dalam mendepani cabaran semasa.

“Pembangunan negeri perlu dipacu secara menyeluruh melibatkan aspek kebajikan umat, pendidikan, kesihatan, ekonomi dan kemudahan awam agar manfaat kemajuan dapat dirasai secara adil oleh semua lapisan masyarakat,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin turut menegaskan kepentingan memperkukuh perpaduan rakyat selain memelihara adat, adab dan nilai murni dalam kehidupan bermasyarakat demi menjamin negeri Perlis kekal aman, harmoni dan sejahtera.

Image
PERLIS
Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (kanan) berkenan mengianugerahkan Darjah Seri Setia Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (S.S.S.J.) yang membawa gelaran Dato’ Seri Diraja kepada Tuanku Syed Faizuddin. - Gambar ihsan Istana Arau
Image
[INSERT]_Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil_ISTANA ARAU
Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (kanan) berkenan mengianugerahkan Darjah Seri Setia Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (S.S.S.J.) yang membawa gelaran Dato’ Seri Diraja kepada Tuanku Lailatul Shahreen. - Gambar ihsan Istana Arau

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin menzahirkan doa agar Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bersama Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid sentiasa dikurniakan keafiatan berpanjangan dan berada dalam lindungan rahmat Allah SWT.

Baginda bertitah demikian ketika mewakili seluruh usrah kerabat Diraja Perlis dalam menzahirkan taat setia pada Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Perlis sempena Ulang Tahun Keputeraan ke-83 Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Balairong Seri, Istana Arau, di sini, hari ini.

Turut berkenan berangkat ke istiadat tersebut ialah Raja Perempuan Perlis serta Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama, anakanda-anakanda puteri baginda berdua, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Pada istiadat berkenaan, Tuanku Syed Sirajuddin turut berkenan menyempurnakan pengurniaan 24 darjah kebesaran dan pingat negeri kepada individu yang telah menabur jasa serta sumbangan cemerlang kepada negeri Perlis dan negara.

Sebelum itu, pengurniaan darjah kebesaran khas kepada kerabat Diraja disempurnakan di Balai Menghadap Biru, Istana Arau.

Dalam majlis berkenaan, Raja Muda Perlis, Raja Puan Muda Perlis serta Tengku Puteri Mahkota Perlis, Datuk Seri Hajah Sharifah Fazira Jamalullail dianugerahkan Darjah Seri Setia Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (S.S.S.J.) yang membawa gelaran Dato’ Seri Diraja.

 

Must Watch Video