Skip to main content

Sukan

Satu kerugian batal pertandingan - Bintang futsal Malaysia

Kapten skuad futsal negara, Khairul Effendy Mohd Bahrin, menyifatkan pembatalan penganjuran Piala Futsal Malaysia dan Kejohanan Futsal bawah 19 tahun (B-19) 2026 sebagai satu kerugian.
Khairul Effendy berharap FAM dapat kembali memperkasa industri futsal negara dalam memastikan Malaysia tidak ketinggalan terlalu jauh dengan negara serantau. - StadiumAstro

KAPTEN skuad futsal negara, Khairul Effendy Mohd Bahrin, menyifatkan pembatalan penganjuran Piala Futsal Malaysia dan Kejohanan Futsal bawah 19 tahun (B-19) 2026 sebagai satu kerugian.

Jelas tonggak berpengalaman berusia 39 tahun itu, pembatalan dua pertandingan berkenaan pastinya memberi kesan kepada pembangunan bakat pelapis selain merencatkan kerancakan saingan futsal domestik.

Pemain yang mesra disapa Ayon itu turut berharap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dapat kembali memperkasa industri futsal negara dalam memastikan Malaysia tidak ketinggalan terlalu jauh dengan negara serantau seperti Thailand dan Indonesia terutamanya daripada aspek pencarian bakat baru berkualiti.

Untuk rekod musim lalu, Khairul Effendy mengecapi kejuaraan Piala Futsal Malaysia bersama Selangor selepas berjaya mengatasi Pahang Rangers 13-3 dalam aksi final yang berlangsung di N9 Arena, Nilai, Negeri Sembilan tahun lalu.

"Bagi saya, secara logiknya memang satu kerugian besar apabila mengurangkan pertandingan.  

"Ia, boleh mengurangkan lapisan pemain dan variasi gaya permainan.

"Malaysia tidak akan ada pemain baru atau muda untuk bersaing dengan tonggak senior.

"Saya harap ia benar terjadi jika FAM berkata demi pembangunan strategik," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.

Terdahulu, media tempatan melaporkan dakwaan pembatalan kejohanan oleh FAM. Dan, badan induk itu pantas menjawab khabar angin itu dengan alasan penyelarasan semula kalendar pertandingan, komitmen pasukan yang bertanding serta isu logistik dan infrastruktur.

Must Watch Video