TIRAI WrestleMania 42 bakal dibuka di Allegiant Stadium, Las Vegas pada 18 dan 19 April 2026 Waktu tempatan (19 dan 20 April Waktu Malaysia), dengan WWE sekali lagi mempertaruhkan naratif besar yang menggabungkan aksi, kisah emosi, dendam lama dan eksperimen baharu dalam hiburan sukan gusti profesional.
Seperti tradisi acara terbesar ini, segala jalan cerita atau 'storyline' yang dibina sejak berbulan-bulan lalu kini bertemu kemuncaknya, dan edisi kali ini dilihat agak padat dari segi konflik peribadi dan juga pertarungan generasi.
Fokus utama pastinya terarah kepada pertembungan Undisputed WWE Championship antara penyandang gelaran Cody Rhodes dan pencabarnya Randy Orton, sebuah kisah yang berpaksikan 'pengkhianatan' antara kawan.
Hubungan lama mereka sebagai sekutu dalam 'The Legacy' sekitar 2008 hingga 2010 dahulu, kini bertukar menjadi medan permusuhan apabila Orton memilih Rhodes sebagai sasaran selepas memenangi Elimination Chamber 2026.
Serangan mengejut Orton sebelum ini yang dipercayai didalangi oleh Pat McAfee yang muncul semula sebagai 'heel', bukan sahaja mengesahkan perubahan wataknya, tetapi memberi dimensi lebih mendalam kepada perlawanan ini, membangkitkan personannya yang sebenar yang telah lama terpendam dalam dirinya selama ini.
Bagi Rhodes, dia kini bukan sekadar mempertahankan gelaran, tetapi mempertahankan legasi bapanya 'The American Dream' Dusty Rhodes, manakala Orton pula memburu satu lagi detik besar dalam kariernya yang penuh sejarah iaitu kejuaraannya yang ke-15.
Dalam masa sama, perlawanan World Heavyweight Championship antara CM Punk dan Roman Reigns pula membawa elemen ego dan kebencian. Reigns memilih untuk mencabar Punk selepas memenangi Royal Rumble 2026, sekali gus membuka semula ketegangan lama antara mereka.
Dari sejarah The Shield hingga kepada kritikan terbuka Punk terhadap WWE suatu ketika dahulu, dan juga dalam episod terbaharu Raw, semua itu kini menjadi bahan bakar kepada konflik yang semakin memuncak.
Ini adalah perlawanan yang bukan sekadar menentukan juara, tetapi siapa sebenarnya wajah dominan WWE.
Satu lagi kisah yang mencuri perhatian adalah kemunculan semula Seth Rollins, yang sebelum ini tampil sebagai ‘masked man’ (lelaki bertopeng) dalam beberapa minggu penuh misteri.
Pendedahan identitinya sebagai dalang di sebalik gangguan tersebut menandakan sisi lebih gelap dalam kariernya, dan kini beliau bakal berdepan Gunther, figura yang dikenali sebagai ‘penamat karier’ atau The Career Killer.
Gaya pertarungan Gunther yang kejam dan tanpa kompromi menjadikan perlawanan ini sebagai ujian fizikal dan mental paling sukar buat Rollins, yang dilihat cuba membuktikan bahawa dia masih mampu berdiri di puncak.
Dalam kategori ‘clash of titans’, pertembungan antara Brock Lesnar dan Oba Femi membawa naratif generasi lama bertemu bakat baharu. Lesnar, yang sinonim dengan dominasi fizikal sejak lebih satu dekad, kini berdepan Oba Femi, bintang muda yang semakin meningkat naik dengan kekuatan luar biasa.
Perlawanan ini dilihat sebagai cabaran hebat dalam karier Lesnar di era baharu ini apabila beberapa kali 'dimalukan' oleh Femi ketika kedua-dua jaguh itu bertembung dalam episode Raw. Ia merupakan ujian buat Lesnar untuk membuktikan bahawa dia masih relevan, dan bukan sekadar perlawanan, tetapi pertembungan dua era yang berbeza.
WrestleMania 42 juga menampilkan kemunculan personality terkenal media sosial iShowSpeed dalam naratif WWE, apabila beliau kini secara tidak sengaja terlibat dalam kumpulan The Vision bersama Logan Paul dan Austin Theory.
Kehadirannya menambah elemen hiburan digital ke dalam penceritaan WWE, terutamanya selepas beberapa insiden 'tular' melibatkan LA Knight sebelum ini. Ini jelas menunjukkan arah WWE yang semakin terbuka kepada pengaruh budaya media sosial dalam menarik perhatian penonton generasi baharu.
Bagi divisyen Wanita pula, beberapa perlawanan kejuaraan turut menjadi tumpuan. Jade Cargill akan mempertahankan WWE Women’s Championship menentang Rhea Ripley dalam pertembungan dua kuasa dominan, manakala Stephanie Vaquer berdepan Liv Morgan bagi Women’s World Championship.
Kembalinya AJ Lee sebagai juara Intercontinental wanita menentang Becky Lynch pula membawa elemen nostalgia dan persaingan lama yang masih berbisa.
Bahagian 'mid card' juga tidak kurang menarik, dengan Sami Zayn mempertahankan WWE United States Championship menentang sensasi baharu Trick Williams dalam pertembungan yang dijangka menarik.
Drew McIntyre dan Jacob Fatu pula akan bertarung dalam perlawanan 'unsanctioned' yang dijangka akan berlangsung dengan penuh kekacauan, manakala Ladder Match bagi kejuaraan Intercontinental lelaki bakal menyaksikan Penta mempertahankan kejuaraannya menentang lima pencabar lain iaitu Dragon Lee, JD McDonagh, Rusev, serta bintang muda Je'Von Evans, dan juga bintang veteran Rey Mysterio.
Sementara itu, konflik dalaman sekutu lama 'The Judgment Day' turut menjadi tema dalam perlawanan antara Finn Balor dan Dominik Mysterio. Yang bertambah menarik ialah apabila Balor bakal menampilkan persona 'Demon' seperti yang didedahkan dalam satu promo terbaharunya dan poster perlawanan tersebiut. Watak itu kali terakhir dilihat di WrestleMania 39.
Sungguh pun telah didedahkan, Balor bagaimanapun sebelum ini menyatakan beliau lebih gemar watak Demon muncul secara mengejut berbanding diumumkan lebih awal.
Bagi Women’s Tag Team Championship pula, perlawanan melibatkan empat pasukan, termasuk gabungan Charlotte Flair dan Alexa Bliss serta kembalinya The Bella Twins, menambah elemen besar kepada keseluruhan acara.
Secara keseluruhan, WrestleMania 42 bukan sekadar acara besar tahunan yang disebut-sebut sebagai 'Super Bowl of WWE', tetapi refleksi kepada evolusi WWE itu sendiri.
Dan seperti biasa, apabila tirai WrestleMania ditutup, persoalan sebenar bukan hanya siapa yang menerajui 'main event', tetapi siapa yang berjaya meraih sambutan dan tontonan tertinggi.
Berikut senarai perlawanan di WrestleMania 42 setakat ini:
1. CM Punk (c) v Roman Reigns - World Heavyweight Championship
2. Stephanie Vaquer (c) v Liv Morgan - Women's World Championship
3. Cody Rhodes (c) v Randy Orton - Undisputed WWE Championship
4. Jade Cargill (c) v Rhea Ripley - WWE Women's Championship
5. Oba Femi v Brock Lesnar
6. AJ Lee (c) v Becky Lynch - WWE Women's Intercontinental Championship
7. Sami Zayn (c) v Trick Williams - WWE United States Championship
8. Jacob Fatu v Drew McIntyre - Unsanctioned match
9. Finn Balor v Dominik Mysterio
10. Penta (c) v Je'Von Evans vs. Dragon Lee v JD McDonagh v Rusev v Rey Mysterio - WWE Intercontinental Championship
11. The Irresistible Forces (Nia Jax & Lash Legend) (c) v Charlotte Flair & Alexa Bliss v Bayley & Lyra Valkyria v The Bella Twins - WWE Women's Tag Team Championship
12. Seth Rollins vs. Gunther
13. LA Knight & The Usos (Jey Uso & Jimmy Uso) v The Vision (Austin Theory & Logan Paul) & IShowSpeed