Skip to main content

Dunia

Indonesia peroleh RP31.3 trilion daripada denda, penguatkuasaan kewangan - Prabowo

 Indonesian President Prabowo Subianto attends the 56th annual World Economic Forum (WEF) meeting in Davos, Switzerland, January 22, 2026. REUTERS/Denis Balibouse/File Photo
Prabowo berkata pasukan petugas  juga telah memperoleh semula kawalan ke atas aset negara di kawasan hutan yang bernilai kira-kira Rp370 trilion (RM86 bilion), menyamai hampir 10 peratus daripada APBN. - Foto fail/REUTERS

JAKARTA: Indonesia telah memperoleh sebanyak Rp11.42 trilion daripada denda pentadbiran dan langkah penguatkuasaan kewangan pada 2026, menjadikan jumlah keseluruhan mencecah Rp31.3 trilion, ketika Presiden Prabowo Subianto mempergiat usaha melindungi kewangan awam.

Bercakap pada majlis penyerahan di Pejabat Peguam Negara, Prabowo berkata perolehan terbaharu itu mencerminkan tindakan diperhebat bagi menutup ketirisan kewangan serta mengukuhkan sumber kerajaan.

Beliau berkata jumlah keseluruhan itu termasuk kira-kira Rp13 trilion (RM3 bilion) yang dipulihkan pada Oktober 2025 melibatkan kes rasuah kemudahan eksport minyak sawit mentah (CPO) dan terbitannya, diikuti oleh Rp6.625 trilion (RM1.54 bilion) pada Disember 2025, dan baki Rp11.42 trilion yang diserahkan pada Jumaat.

Menyifatkan angka itu sebagai signifikan, Prabowo berkata dana yang dipulihkan itu boleh digunakan untuk membaik pulih 34,000 sekolah di seluruh Indonesia serta mengubah suai lebih 500,000 rumah bagi komuniti berpendapatan rendah, yang memberi manfaat kepada kira-kira dua juta orang.

“Dengan ini, jumlah tunai yang berjaya kita selamatkan sehingga hari ini ialah Rp31.3 trilion,” katanya dalam ucapan yang disiarkan secara langsung menerusi akaun YouTube Sekretariat Presiden pada Jumaat.

Prabowo berkata pasukan petugas  juga telah memperoleh semula kawalan ke atas aset negara di kawasan hutan yang bernilai kira-kira Rp370 trilion (RM86 bilion), menyamai hampir 10 peratus daripada Belanjawan Negara (APBN).

“Jika kita mengira Rp370 trilion ini, kita boleh menjangkakan kesemua sekolah di seluruh Indonesia dapat dibaik pulih, dimodenkan, dilengkapi dengan pendigitalan serta skrin digital pintar. Kita boleh membaiki semua kemudahan sanitasi di sekolah kita. Kita juga boleh membina beribu-ribu jambatan di kampung-kampung,” katanya.

Beliau menzahirkan penghargaan kepada ahli pasukan petugas berkenaan sambil menyatakan bahawa ada di antara mereka yang berdepan ancaman dan intimidasi semasa menjalankan tugas. Beliau turut memberi amaran bahawa sebarang percubaan untuk menghalang pasukan petugas itu akan dianggap sebagai cabaran kepada  kepresidenan.

Presiden itu juga menyeru agensi penguatkuasaan undang-undang supaya bertindak tegas terhadap penyeludupan, perlombongan haram dan aktiviti menyalahi undang-undang yang lain.

“Kita tidak akan berhenti, kita tidak akan takut, dan kita akan terus mara demi mempertahankan bangsa dan negara,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video