Skip to main content

Sukan

Ratchanok hampir tarik diri, kini selangkah buru hatrik Malaysia Masters

KUALA LUMPUR, May 22 -- Second-seeded women’s singles player from Thailand, Ratchanok Intanon, competes against Denmark’s Line Christophersen during the Perodua Malaysia Masters 2026 at Axiata Arena, Bukit Jalil today.  Ratchanok wins 21-16, 21-11.  -- fotoBERNAMA (2026) COPYRIGHT RESERVED
Ratchanok Intanon ketika bermain menentang Line Christophersen pada saingan Malaysia Masters 2026 di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, 22 Mei 2026. -- fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Bekas juara dunia Ratchanok Intanon mengakui hampir menarik diri daripada saingan Malaysia Masters akibat prestasi kurang memberangsangkan, namun kini hanya selangkah lagi untuk mara ke final.

Pemain pilihan Thailand itu, yang juga juara dua kali kejohanan berkenaan pada 2018 dan 2019, melangkah ke separuh akhir selepas menewaskan pemain Denmark, Line Christophersen, 21-16, 21-11 dalam tempoh 31 minit di Arena Unifi, Bukit Jalil, semalam.

Pemain berusia 31 tahun itu berkata dia sebenarnya hampir tidak meneruskan saingan minggu ini selepas tersingkir di suku akhir Thailand Open minggu lalu susulan masalah kecergasan serta kecederaan ringan.

“Sejujurnya, saya mahu menarik diri minggu ini kerana kalah di suku akhir Terbuka Thailand dan tidak berada pada tahap kecergasan terbaik.

“Tetapi saya berbincang dengan jurulatih dan merasakan saya masih perlu bermain. Kecederaan juga tidak bertambah buruk, jadi saya teruskan,” katanya kepada Bernama selepas perlawanan.

Menurut pemain ranking ketujuh dunia itu, keadaan gelanggang di Arena Unifi turut membantu meningkatkan keyakinannya sepanjang kejohanan.

“Keadaan gelanggang di sini berbeza berbanding sesi latihan dan Terbuka Thailand. Apabila berada di sini, saya rasa lebih mudah untuk memukul bulu tangkis dengan baik, jadi keyakinan saya meningkat,” katanya.

Walaupun kini semakin hampir untuk meraih gelaran ketiga Malaysia Masters, Ratchanok enggan terlalu memikirkan peluang itu dan mahu memberi fokus terhadap setiap perlawanan.

“Saya ambil satu pusingan demi satu pusingan. Saya tidak boleh kata akan kembali menjadi juara kerana saya tahu tahap kecergasan saya belum cukup baik,” katanya.

Dalam aksi separuh akhir hari ini, Ratchanok akan menentang seorang lagi pemain Denmark, Line Hojmark Kjaersfeldt, yang mara selepas menewaskan Asmita Chaliha dari India 21-23, 21-18, 21-11.

Pada Terbuka Thailand, Ratchanok tersingkir di suku akhir selepas tewas kepada pemain ranking ke-24 dunia dari Jepun, Hina Akechi, 21-13, 21-16.

Malaysia Masters yang berstatus Super 500 menawarkan hadiah keseluruhan USD500,000 (RM 1.98 juta).

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement