PERMOHONAN kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) biasanya akan dibuka pada bulan Ogos hingga September setiap tahun.
Ramai yang bercita-cita menempatkan anak ke sekolah-sekolah elit termasuk SBP dan MRSM, angkasawasa negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie Sheikh Mustapha berkongsi tip dan info berkaitan persediaan untuk memohon masuk.
"Bukannya mudah kerana persaingan tinggi dan sangat kompetitif. Anak-anak semua bijak-bijak belaka. Hanya yang terbaik akan terpilih. Kira-kira 9,800 tempat di SBP, 7,300 tempat di MRSM dan 9,000 tempat untuk SMKA manakala yang memohon ialah 217,000 orang.
"Walaupun anak menerima anugerah cemerlang di sekolah, tak semestinya akan terpilih. Hal ini membuatkan ibu bapa pening," kongsinya.
Bekas pakar bedah ortopedik yang mempunyai pengalaman anak pertama dan keduanya bersekolah di sekolah terkemuka itu menekankan penguasaan akademik dan ko-kurikulum sejak Tahun Empat.
Beliau turut menekankan beberapa aspek penting termasuk permarkahan Penilaian Bilik Darjah (PBD) dan peperiksaan, penglibatan dalam aktiviti ko-kurikulum, Peperiksaan Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) dan cara mengisi permohonan dalam talian.
"Bila bercakap mengenai PKSK ni, memang nervous ya. Saya sudah melaluinya dengan dua anak saya, Bella dan Tasha.
"Sekarang Bella berada di Tingkatan Tiga, Sekolah Pemata Pintar UKM dan Tasha baharu masuk Tingkatan Satu di Kolej Tunku Khurshiah (TKC) Alhamdulillah.
"Macam mana kita nak membuatkan persediaan awal untuk anak-anak? Bagi saya, sejak dari Tahun Empat lagi perlu dimulakan.
"Kami sudah mula bersedia dari awal kerana sudah merancang awal dengan mensasarkan anak-anak semuanya mesti masuk sekolah berasrama, sama ada MRSM atau SBP.
"Sejak dari Tahun Empat anak-anak kena cemerlang dalam segi akademik. Kalau boleh berjaya dengan cemerlang dengan perbanyakkan tuisyen atau belajar di rumah.
"Tahap Penguasaan (TP) bagi Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) sangat penting sangat.
"Ia sekurang-kurangnya TP5 untuk semua subjek sejak Tahun Lima dan Tahun Enam lagi.
"Kedua, mesti skor ko-kurikulum dan aktif. Anak-anak saya, mereka lebih kepada sukan renang dan olahraga hingga ke peringkat kebangsaan. Jadi, ini semua kita kumpulkan sebagai persediaan untuk digunakan ketika membuat permohonan.
"Kadang-kadang skor 95 peratus tapi TP4. Untuk dapatkan TP6 anak harus skor Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA), memahami subjek, boleh beri tunjuk ajar murid lain, aktif dalam kelas dan sebaiknya eksrovert.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh tentang Peperiksaan Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) yang akan dihadapi murid yang memohon tempat di SBP.
"Ujian PKSK paling penting. Ia merangkumi 70 peratus. Mesti skor dan kena mahir soalan insaniah yang melibatkan kehidupan di asrama, subjek teras.
"Banyakkan soalan latihan PKSK. Ambik tuisyen kalau mampu," kongsinya.
Selain itu, cara ibu bapa mengisi borang permohonan juga membantu murid untuk mendapat tempat.
"Pilihan pertama, isi sekolah pilihan elite school. Ambil yang top school.
"Pilihan kedua dan ketiga bukan sekolah elit tetapi yang masih unggul
"Sekolah elit seperti TKC, Sekolah Tun Fatimah, Sekolah Seri Puteri, Malay College Kuala Kangsar, Sekolah Alam Shah, MRSM Tun Ghafar Baba, MRSM Taiping, MRSM Langkawi dan lain-lain.
"Ramai sangat yang mohon tetapi kalau rasa anak bijak dan pencapaian tip top, boleh add dua hingga tiga buah sekolah elit," titipnya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut berharap kepada semua yang mensasarkan kemasukan SBP dan MRSM untuk melipatgandakan kesungguhan serta ikhtiar. Dr Sheikh Muszaphar sempat menyelitkan prinsip dipegang bahawa persekitaran menentukan kejayaan seseorang pada masa hadapan.
"Selamat maju jaya kepada anak-anak yang memohon tahun ini. Gandakan usaha, yakin dengan ketentuan.
“Untuk menjadi yang terbaik, kamu perlu dikelilingi oleh mereka yang terbaik," titipnya. - Sinar Harian