Skip to main content

Dunia

Istana Elysee diserbu, siasatan rasuah goncang pusat kuasa Perancis

Elysee palace - official residence of President of French Republic in Paris, France -- ADOBE STOCK
Presiden telah membenarkan serbuan ke atas Istana Elysee kerana siasatan itu tidak menyasarkan Macron secara langsung, selain langkah perlindungan diambil bagi menjaga perlembagaan dan kerahsiaan keselamatan negara. - Gambar Adobe Stock

PARIS: Penyiasat kewangan Perancis menjalankan serbuan di Istana Elysee, kediaman rasmi Presiden Emmanuel Macron dalam siasatan berkaitan dakwaan pilih kasih dan rasuah, kata pihak pendakwa pada Jumaat.

Serbuan yang dilakukan pada Khamis itu merupakan sebahagian daripada siasatan berhubung pemilihan berulang sebuah syarikat acara yang sama selama beberapa tahun untuk menganjurkan upacara kemasukan tokoh ke makam Pantheon, lokasi persemadian tokoh terkenal Perancis.

Pejabat pendakwa raya kewangan memaklumkan, operasi carian dilakukan pada 21 Mei bagi meneliti syarat pemberian beberapa kontrak awam berkaitan penganjuran upacara tersebut.

Menurut pihak berkuasa, operasi itu didahului dengan rundingan institusi bagi memastikan ia dapat dijalankan mengikut peruntukan undang-undang.

Wakil Istana Elysee memberitahu bahawa pihak Presiden telah membenarkan serbuan tersebut kerana siasatan itu tidak menyasarkan Macron secara langsung, selain langkah perlindungan diambil bagi menjaga perlembagaan dan kerahsiaan keselamatan negara.

Terdahulu pada April, percubaan untuk memasuki istana berkenaan gagal selepas akses dinafikan atas alasan perlembagaan yang menjamin keutuhan dan imuniti premis kepresidenan.

Siasatan itu merupakan sebahagian daripada siasatan kehakiman yang dibuka pada Oktober 2025, melibatkan syak wasangka pilih kasih, rasuah serta penyalahgunaan pengaruh.

Media tempatan melaporkan, penyiasat turut meneliti pemilihan syarikat pengurusan acara, Shortcut Events, yang dipercayai dipilih secara konsisten selama lebih dua dekad sehingga 2024 untuk mengendalikan upacara di Pantheon.

Kos setiap majlis dianggarkan sekitar dua juta euro.

Upacara terakhir yang dikendalikan syarikat itu pada 2024 adalah bagi menghormati penyair kelahiran Armenia, Missak Manouchian, yang terkorban ketika menentang pendudukan Nazi semasa Perang Dunia Kedua.

Sebelum itu, tokoh Perancis-Amerika, Josephine Baker, menjadi wanita kulit hitam pertama yang dimasukkan ke Pantheon pada 2021. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement