MEKAH: Pada usia 88 tahun, Moraton Hassan merupakan jemaah haji Malaysia tertua tahun ini untuk menunaikan ibadah di Tanah Suci, satu perjalanan yang disifatkannya sebagai “jemputan Allah” selepas menunggu sekian lama.
Berasal dari Muar, Johor, Moraton berkata, perasaan syukur dan gembira tidak dapat digambarkan apabila hasrat untuk menunaikan rukun Islam kelima akhirnya menjadi kenyataan.
“Alhamdulillah… saya sangat bersyukur. Ramai yang nak pergi haji tapi belum dapat, saya diberi peluang ini,” katanya ketika ditemui di sini.
Menurut beliau, keinginan untuk menunaikan haji sudah lama terpendam, namun tanggungjawab membesarkan anak-anak selepas pemergian suami kira-kira 25 tahun lalu menjadi keutamaan.
Moraton berkata, simpanan untuk ke Tanah Suci dikumpul sedikit demi sedikit hasil kerja menoreh getah serta bantuan anak-anak.
“Saya simpan sikit-sikit… daripada kerja dan anak-anak pun ada bantu. Kita kumpul sampai cukup,” katanya.
Moraton mengakui pernah berdepan pandangan segelintir pihak yang merasakan usianya tidak lagi sesuai untuk menunaikan haji, namun tetap berpegang kepada ketentuan Ilahi.
“Ada yang kata dah tua, tak layak… tapi saya kata Tuhan yang menentukan. Kalau Allah jemput, kita akan sampai juga,” katanya.
Menurut Moraton, kesabaran menjadi kekuatan sepanjang menunggu giliran, termasuk melalui beberapa kali rayuan sebelum menerima panggilan tahun ini.
“Kalau ada rezeki, kita pergi. Kalau tak, kita reda… saya sabar saja, alhamdulillah sihat… makan pun okey. Saya makan apa saja, yang penting ada nasi,” katanya bersahaja.
Menjelang wukuf di Arafah, Moraton berharap dapat memanfaatkan sepenuhnya detik tersebut dengan berdoa untuk kesihatan, umur panjang serta kesejahteraan keluarga.
“Saya doa untuk diri sendiri, anak-anak dan semua keluarga… minta sihat dan panjang umur,” katanya.
Sementara itu, Moraton yang mempunyai lima anak lelaki ditemani menantunya, Azizah Wahab sebagai pengiring atau peneman.
Menurut Azizah, keputusan untuk menemani ibu mentua dibuat dengan sokongan suami serta kesedaran bahawa peluang itu adalah satu panggilan istimewa.
“Ini amanah daripada suami saya untuk jaga ibu. Saya tidak anggap ia sebagai beban, sebaliknya tanggungjawab,” katanya.
Azizah berkata, sejak tiba di Mekah, keadaan ibu mentuanya kekal stabil dan mampu mengikuti aktiviti ibadah dengan baik.
“Alhamdulillah semua berjalan lancar. Mak boleh pergi umrah, tawaf sunat, ke surau… semuanya dengan bantuan."
“Bila tengok mak kuat walaupun umur 88 tahun, itu jadi kekuatan kepada saya juga,” katanya.
Tambahnya, pengalaman menemani mentuanya menunaikan haji merupakan satu nikmat yang tidak ternilai.
“Saya rasa sangat bertuah. Mak umur 88 tahun boleh sampai ke sini, sedangkan saya sendiri pun belum tentu dapat peluang ini jika bukan kerana menemani mak,” katanya.
Menjelang kemuncak ibadah, dia berharap segala urusan dipermudahkan supaya ibu menuanya dapat menunaikan wukuf dengan sempurna.
“Kami cuma mohon doa supaya semuanya berjalan lancar dan mak dapat menunaikan haji dengan baik,” katanya.