GEORGE TOWN: Pulau Pinang kini memasuki fasa akhir persiapan menjelang Sukan Malaysia (Sukma) 2026 di Selangor yang dijadualkan pada 15 hingga 24 Ogos ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Belia dan Sukan negeri Daniel Gooi Zi Sen berkata keputusan meneruskan penganjuran Sukma 2026 itu memberi kelegaan kepada kontinjen negeri yang mungkin menyenaraikan anggaran 600 atlet pada temasya kali ini.
"Kini kita dalam persiapan akhir kurang 100 hari lagi, jadi sekarang kita berada dalam persiapan penuh dengan setakat ini kerajaan negeri telah membelanjakan kira-kira RM4.5 juta sebagai persediaan kontinjen Pulau Pinang menghadapi temasya tersebut.
''Bayangkan sekiranya Sukma ditunda, ini merupakan kerugian besar bukan sahaja dari segi kewangan tetapi juga peluang kepada atlet-atlet kita untuk beraksi," katanya pada sidang media di pejabatnya di Komtar di sini hari ini.
Beliau berkata senarai akhir atlet mewakili kontinjen Pulau Pinang akan dimuktamadkan tidak lama lagi.
Sukma 2026 mendapat lampu hijau apabila Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan agar penganjurannya diteruskan dengan pendekatan lebih berhemat dan berlandaskan penjimatan kos.
Gooi berkata penganjuran temasya sukan itu akan dilaksanakan secara sederhana dengan kos yang diminimumkan tanpa menjejaskan perjalanan acara.
-- BERNAMA