KUALA LUMPUR: Malaysia perlu memperluas pembiayaan hijau, memperkukuh keupayaan teknologi tempatan serta meningkatkan penyertaan merentas sektor dan wilayah bagi memanfaatkan sepenuhnya peralihan global ke arah kemampanan, sekali gus menjadikan risiko iklim sebagai kelebihan daya saing dalam rantaian nilai hijau.
Dalam Laporan Iklim dan Pembangunan Negara yang diterbitkan baru-baru ini, Bank Dunia menyatakan halangan ketara seperti pelaburan rendah dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), jurang kemahiran tenaga kerja serta kerjasama industri-akademia yang lemah berisiko mengehadkan inovasi ketika Malaysia mempercepat peralihan hijau negara.
“Walaupun Malaysia telah memperkenalkan dasar hijau dan instrumen fiskal, pelaburan sektor swasta domestik masih berhati-hati dan ekosistem inovasi masih dalam fasa pembangunan.
“Bagi mempergiat transformasi ini, Malaysia juga perlu meningkatkan pelaburan dalam perkhidmatan berkaitan kemampanan serta sektor berasaskan pengetahuan,” menurut bank itu dalam laporan berkenaan.
Bank Dunia turut menyatakan permintaan global terhadap aktiviti yang disokong piawaian kukuh alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) semakin meningkat, dengan pembiayaan hijau, analitik risiko iklim, pensijilan mampan serta audit alam sekitar muncul sebagai bidang pertumbuhan baharu.
Menurutnya, Malaysia mempunyai kelebihan daya saing dalam ESG hasil sektor kewangan yang matang, infrastruktur digital yang mantap serta tenaga kerja pelbagai bahasa.
“Pembangunan keupayaan dalam perkhidmatan bernilai tinggi ini akan mempelbagaikan eksport serta mengintegrasikan elemen kemampanan dalam rantaian bekalan,” menurut bank itu, sambil menambah negeri seperti Pulau Pinang dan Selangor berpotensi menjadi kluster perindustrian hijau yang mampu menarik pelaburan mampan dan bakat.
Pada masa sama, bank itu menegaskan negeri luar bandar dan berskala kecil perlu diperkasa untuk turut meraih manfaat daripada pertumbuhan rendah karbon, sama ada melalui pemprosesan agro hijau, perusahaan ekonomi kitaran atau ekopelancongan.
Menurutnya, sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pelaburan dalam hab inovasi serantau serta pemerkasaan tadbir urus tempatan akan memastikan peralihan hijau Malaysia bersifat inklusif, berdaya tahan dan menjadi asas kepada kemakmuran bersama.
Kesan Perubahan iklim
Bank Dunia memaklumkan perubahan iklim dijangka menelan kos sehingga 8.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menjelang 2050 di bawah senario paling pesimistik, dengan kemungkinan kerugian lebih besar.
Menurutnya, kira-kira separuh daripada kos yang diramalkan itu telahpun direalisasikan melalui penurunan KDNK, didorong oleh kehilangan hasil tanaman, banjir serta kemerosotan produktiviti akibat tekanan haba.
Bank Dunia memaklumkan sektor pertanian sahaja berdepan risiko penyusutan sehingga 18 peratus nilai pengeluarannya menjelang pertengahan abad, dengan kesan berantai yang akan menjejaskan kesinambungan perniagaan, pekerjaan, hasil kesihatan serta kestabilan ekonomi secara keseluruhan.
“Jika banjir yang berlaku sekali dalam tempoh 20 tahun melanda selepas gelombang haba berpanjangan, kerugian KDNK boleh melebihi 20 peratus dalam satu tahun, sekali gus menjadikan daya tahan iklim sebagai keperluan ekonomi,” menurut bank itu.
Menurut bank itu, langkah penyesuaian berpotensi mengimbangi sehingga separuh daripada kerugian ekonomi berkaitan iklim yang dijangka, dengan usaha menangani tekanan haba sebagai strategi utama.
Bank Dunia memaklumkan peningkatan liputan penggunaan penyaman udara di tempat kerja daripada 42 kepada 75 peratus menjelang 2050 berupaya mengekalkan produktiviti tenaga buruh pada kos tahunan sederhana sekitar US$40 juta.
“Namun, tindakan yang lebih menyeluruh diperlukan. Pelan guna tanah berdaya tahan iklim boleh mengurangkan risiko banjir dan tanah runtuh, manakala pertanian pintar iklim serta pengurusan sumber air bersepadu akan membantu mengekalkan keselamatan makanan dan air,” menurut bank itu.
-- BERNAMA