KUALA LUMPUR: Menjangkau usia 80 tahun, UMNO kekal relevan dalam landskap politik negara namun perlu lebih responsif dan tangkas dalam menangani pandangan serta kritikan rakyat.
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata kedudukan parti itu tidak lagi dominan seperti dahulu, sekali gus menuntut pendekatan lebih matang dan segar, selari dengan perubahan landskap politik serta kemunculan generasi pengundi yang mempunyai corak pemikiran berbeza.
Beliau berkata UMNO tidak boleh mengambil sikap sambil lewa terhadap sebarang kritikan, sebaliknya perlu menilai setiap pandangan rakyat secara teliti dan menterjemahkannya kepada langkah penambahbaikan yang konkrit.
“Ada pandangan yang benar dan perlu diperbaiki. Sebagai pemimpin, kita perlu sentiasa membuat penambahbaikan. Sekiranya UMNO tidak dapat menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut, boleh menyebabkan parti berdepan cabaran lebih besar pada masa hadapan,” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV disiarkan malam ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang itu berkata parti berkenaan kini lebih proaktif mendekati golongan muda khususnya pengundi berusia 18 tahun, melalui pendekatan berasaskan pemahaman terhadap kehendak serta aspirasi mereka, dan tidak lagi bergantung semata-mata kepada naratif sejarah.
Antara perkembangan positif ialah pendaftaran secara dalam talian yang menyaksikan kira-kira 4,000 golongan muda mendaftar untuk menyertai UMNO dalam tempoh 24 jam.
“Untuk anak muda, kita perlu beri harapan tentang masa depan mereka bersama UMNO, bukan sekadar menceritakan sejarah...kita sedang berusaha meningkatkan keterlibatan atau engagement dengan golongan muda, yang juga penting bagi membina keyakinan mereka terhadap parti,” katanya.
Wan Rosdy berkata sepanjang 80 tahun penubuhannya, UMNO melalui pelbagai fasa termasuk perjuangan kemerdekaan, pembangunan negara serta cabaran politik namun kekal sebagai antara institusi penting dalam pembinaan negara.
Beliau berkata parti itu terus memainkan peranan dalam memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air dengan pendekatan sederhana yang mengutamakan keharmonian serta kestabilan negara tanpa menghilangkan identiti dan prinsip perjuangan UMNO.
“Dahulu kita dominan, sekarang kita sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan. Tetapi ini bukan soal kompromi prinsip, sebaliknya soal tanggungjawab. Selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), tiada satu parti pun yang dominan untuk membentuk kerajaan.
“UMNO mengambil pendekatan matang dengan meletakkan kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan politik sempit...ini tidak bermakna kita hilang identiti.
“Empat perkara asas yang kita tidak kompromi iaitu pertahankan Islam sebagai agama Persekutuan, hak dan kedudukan orang Melayu, kedaulatan Raja-Raja Melayu dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Mengulas usaha memperkukuh generasi pelapis parti, Wan Rosdy berkata satu inisiatif sedang dilaksanakan iaitu penubuhan Sekolah Patriotik UMNO atau Sekolah Pengkaderan UMNO atas ilham Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata sekolah itu bertujuan melahirkan pemimpin masa depan yang memiliki jati diri kukuh, semangat juang tinggi serta kecintaan terhadap agama, bangsa dan negara menerusi silibus khusus yang berbeza daripada pembelajaran di universiti kerana dirangka bagi membentuk kepimpinan politik berdaya tahan.
Pendekatan itu menggabungkan elemen jati diri, kefahaman perjuangan parti serta kesediaan menghadapi cabaran semasa sekali gus membolehkan mereka menjadi ejen penerangan kepada masyarakat.
“Modul Sekolah Pengkaderan UMNO dibangunkan berdasarkan kajian termasuk lawatan ke beberapa negara seperti Indonesia dan Thailand bagi melihat pendekatan latihan politik yang sesuai.
“Dalam tempoh 20 tahun akan datang, ketika UMNO mencecah usia 100 tahun, mereka yang dilatih melalui program itu dijangka tampil sebagai pemimpin pelapis parti,” katanya.
-- BERNAMA