Skip to main content

Malaysia

Menteri Kanan Singapura mulakan lawatan rasmi ke Pahang

LeeHsienLoong
Lawatan Lee Hsien Loong (duduk) ke Pusat Konservasi Harimau Malaya di Lanchang antara lain memperkukuh hubungan dua hala serta kerjasama dalam aspek pemuliharaan hidupan liar. - Foto: MDDI / Fyrol via Facebook Lee Hsien Loong

KUANTAN: Menteri Kanan Singapura Lee Hsien Loong memulakan lawatan rasmi di Pahang hari ini dengan berkunjung ke Pusat Konservasi Harimau Malaya (MTCC) di Lanchang, Temerloh. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang Datuk Mohamad Nizar Najib berkata lawatan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh hubungan dua hala serta kerjasama dalam aspek pemuliharaan hidupan liar, khususnya spesies ikonik negara iaitu harimau Malaya.

“Lee yang tiba bersama isteri, Ho Ching mengetuai delegasi sebanyak 41 orang dari Singapura,” katanya menerusi hantaran Facebook. 

Turut hadir Pegawai Daerah Temerloh Datuk Khairur Rizal Ramli serta Timbalan Ketua Pengarah (Konservasi) Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia Datuk Fakhrul Hatta Musa. 

Lee dilaporkan akan mengadakan lawatan selama lima hari ke Pahang dan Terengganu bermula hari ini hingga 8 Mei. 

Sepanjang lawatan itu, Lee akan diiringi Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri Singapura Edwin Tong; Menteri Negara di Kementerian Ehwal Luar dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga Zhulkarnain Abdul Rahim serta pegawai dari Kementerian Ehwal Luar.

Dalam lawatan di Pahang, Lee dijangka menghadap Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz di sini esok. 

-- BERNAMA

Must Watch Video