MOSCOW: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menyaksikan demonstrasi jet pejuang pelbagai peranan generasi kelima, Sukhoi Su-57E di Lapangan Terbang Antarabangsa Zhukovsky, Moscow, pada Jumaat.
Demonstrasi itu dikendalikan Sergei Bogdan, juruterbang ujian terkenal Rusia berusia 64 tahun yang turut menerima gelaran Hero of Russia.
Bogdan yang berkhidmat sebagai juruterbang ujian utama syarikat Sukhoi sejak tahun 2000 dikenali sebagai individu penting dalam program pembangunan pesawat tempur generasi kelima negara itu.
Persembahan udara selama hampir tujuh minit berkenaan mempamerkan keupayaan teknologi ketenteraan moden Rusia termasuk kecanggihan sistem radar serta kemampuan operasi pelbagai peranan dimiliki jet pejuang terbabit.
Seri Paduka Baginda turut dipersembahkan taklimat berkaitan spesifikasi dan keupayaan Sukhoi Su-57E selain meluangkan masa melihat ruang dalaman pesawat itu sejurus ia mendarat selepas demonstrasi udara selesai.
Mengiringi Seri Paduka Baginda ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Duta Besar Malaysia ke Rusia, Cheong Loon Lai.
Sebelum itu, keberangkatan tiba Sultan Ibrahim disambut Timbalan Pengarah Perkhidmatan Persekutuan bagi Kerjasama Ketenteraan-Teknikal Rusia (FSMTC), Mikhail Petukhov.
Seri Paduka Baginda berangkat tiba di Moscow pada Rabu lalu atas jemputan khas Kerajaan Persekutuan Rusia sebagai tetamu kehormat sempena sambutan Ulang Tahun Hari Kemenangan yang akan berlangsung pada Sabtu.