AMPANG: Penduduk Kampung Bukit Sungai Putih, Hulu Langat di sini diarahkan keluar serta-merta sebagai langkah keselamatan selepas berlaku kejadian tanah runtuh berhampiran kediaman mereka pada petang Jumaat.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.17 petang.
Jelasnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ampang tiba di lokasi kira-kira lima minit kemudian dengan jarak perjalanan sejauh empat kilometer.
"Sejurus tiba, komander operasi memaklumkan terdapat runtuhan tanah berlaku kira-kira lebih satu meter dari kawasan rumah.
"Justeru, kesemua penghuni diarahkan keluar sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan mereka," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.
Menurut Ahmad Mukhlis, pihaknya turut menjalankan pemantauan di sekitar kawasan kejadian bagi memastikan tiada risiko bahaya lain.
Tambah beliau, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.