ISTANBUL: Harga makanan dunia meningkat bagi bulan ketiga berturut-turut pada April, didorong terutamanya oleh kenaikan harga minyak sayuran serta peningkatan harga bijirin dan beras susulan kos tenaga yang tinggi, menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) pada Jumaat.
“Penanda aras harga komoditi makanan dunia meningkat pada April bagi bulan ketiga berturut-turut susulan kos tenaga yang tinggi dan gangguan akibat konflik di Asia Barat,” lapor Anadolu Ajansi memetik kenyataan agensi itu.
Indeks Harga Makanan FAO mencatat purata 130.7 mata pada April, meningkat 1.6 peratus berbanding paras disemak semula pada Mac dan 2 peratus lebih tinggi berbanding setahun sebelumnya.
Indeks Harga Minyak Sayuran FAO meningkat 5.9 peratus berbanding Mac kepada paras tertinggi sejak Julai 2022, disokong oleh kenaikan harga minyak sawit, soya, bunga matahari dan biji sesawi.
Ketua Ahli Ekonomi FAO Maximo Torero berkata sistem agromakanan global terus menunjukkan daya tahan walaupun berdepan gangguan berkaitan krisis Selat Hormuz, manakala minyak sayuran mencatat kenaikan harga lebih ketara sebahagian besarnya disebabkan harga minyak yang lebih tinggi serta permintaan biofuel yang meningkat.
Indeks Harga Bijirin FAO meningkat 0.8 peratus bulan ke bulan, mencerminkan kenaikan harga gandum dan jagung, manakala Indeks Harga Beras meningkat 1.9 peratus apabila harga minyak mentah dan produk turunannya meningkatkan kos pengeluaran dan pemasaran di negara pengeksport beras.
Indeks Harga Daging FAO mencapai paras tertinggi baharu pada April, meningkat 1.2 peratus berbanding Mac dan 6.4 peratus tahun ke tahun, didahului oleh kenaikan harga daging lembu.
Sebaliknya, Indeks Harga Produk Tenusu susut 1.1 peratus berbanding Mac, manakala Indeks Harga Gula turun 4.7 peratus, tertekan oleh jangkaan bekalan global yang mencukupi.
FAO turut menaikkan unjuran pengeluaran bijirin global bagi 2025 kepada 3.04 bilion tan, meningkat 6 peratus berbanding tahun sebelumnya, manakala unjuran pengeluaran gandum bagi 2026 disemak turun sedikit kepada 817 juta tan.
-- BERNAMA-ANADOLU