Skip to main content

Malaysia

Kementerian Pertahanan komited perkukuh keupayaan, kesiapsiagaan TUDM

Selamat Hari Ulang Tahun TUDM ke-68. -- FB Khaled Nordin
Sepanjang 68 tahun, TUDM telah menggalas amanah melindungi kedaulatan negara dengan penuh profesionalisme, keberanian dan dedikasi. - Foto FB Khaled Nordin

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan komited memperkukuh keupayaan dan kesiapsiagaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melalui pembangunan aset, teknologi serta modal insan bagi memastikan pasukan itu kekal unggul mempertahankan ruang udara negara.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata sepanjang 68 tahun, TUDM telah menggalas amanah melindungi kedaulatan negara dengan penuh profesionalisme, keberanian dan dedikasi.

“TUDM memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan ruang udara negara serta menyokong pelbagai operasi bagi mempertahankan kepentingan dan kedaulatan negara,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook sempena sambutan Hari Ulang Tahun TUDM ke-68, hari ini.

Mohamed Khaled turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga serta veteran TUDM atas segala jasa, pengorbanan dan khidmat bakti mereka dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Sejarah TUDM bermula apabila Ordinan Tentera Udara diluluskan Parlimen pada 2 Jun 1958, yang menyaksikan pasukan itu awalnya dikenali sebagai Tentera Udara Diraja Persekutuan.

Susulan pembentukan Malaysia pada 16 Sept 1963, nama pasukan itu kemudiannya ditukar kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). 

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement