KUALA LUMPUR: Datuk Amarjit Singh Gill terus diberi kepercayaan menerajui Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) bagi penggal 2026-2030 apabila sah menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden.
Pengesahan itu diumum menerusi Mesyuarat Exco Khas PKBM yang berlangsung pada Khamis lepas, sejurus proses pencalonan ditutup.
Pemangku Setiausaha PKBM Norhazlee Md Zaki memaklumkan bahawa Amarjit yang mewakili Perak, telah memenuhi semua syarat pencalonan menjelang Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dijadualkan berlangsung Ahad ini.
Sebagai rekod, Amarjit menewaskan pencabarnya, Yunus Ibrahim dan Mazlan Md Jail pada AGM bagi penggal 2023-2026 dalam pemilihan yang diadakan di Melaka pada 12 Okt 2024.
Amarjit, yang juga Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) menyifatkan mandat berterusan diberikan itu sebagai bukti keyakinan terhadap hala tuju sukan berbasikal negara.
“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua persatuan berbasikal negeri yang telah memberikan kepercayaan kepada saya untuk terus memimpin PKBM bagi penggal seterusnya. Ini satu penghormatan yang sangat besar kepada saya.
"Ia bermakna saya ada banyak kerja untuk dilakukan selepas ini. Saya ingin membawa sukan berbasikal Malaysia ke satu tahap yang bertaraf dunia," katanya menerusi kenyataan dikeluarkan PKBM hari ini.
Beliau turut menyifatkan kejayaan menganjurkan Kejohanan Trek Piala Dunia 2026 yang berakhir Ahad lepas, sebagai bukti kemampuan PKBM mengendalikan kejohanan bertaraf dunia dengan cemerlang.
Sementara itu, bagi jawatan Timbalan Presiden menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Naib Presiden iaitu Norazman Abu Samah (Melaka) dan Mohd Saiful Abdul Jalil (Putrajaya).
Bagi jawatan Naib Presiden pula, lapan calon akan bersaing untuk mengisi lima kerusi yang dipertandingkan pada AGM berkenaan.
-- BERNAMA