KUANTAN: Malaysia menegaskan pendirian untuk terus mengawasi keselamatan Selat Melaka sebagai laluan strategik perdagangan dunia dan tidak akan membenarkan mana-mana kuasa besar membuat keputusan unilateral terhadap kawasan maritim itu.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pendirian itu selari dengan prinsip centrality (kepusatan) yang menjadi asas pendekatan Malaysia dalam konteks ASEAN, iaitu mengekalkan rantau itu sebagai zon aman, bebas dan berkecuali.
“Pendekatan ini dikenali sebagai centrality, ia bukan bermaksud kita tidak mempunyai pendirian tetapi kita menyatakan pendirian berdasarkan kepentingan negara,” katanya pada sidang media Program Jelajah Wira MADANI Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di sini hari ini.
Beliau berkata konflik di Asia Barat khususnya melibatkan Selat Hormuz, memberi isyarat jelas kepada Malaysia mengenai kepentingan laluan perdagangan strategik dunia.
Katanya Selat Hormuz merupakan laluan bagi kira-kira 20 peratus bekalan tenaga dunia, manakala 80 peratus laluan perdagangan maritim global melalui Selat Melaka.