JAKARTA: Angka korban akibat perlanggaran kereta api di Stesen Bekasi Timur, Jawa Barat meningkat kepada 14, menurut pengendali kereta api Indonesia pada Selasa.
Presiden Pengarah Kereta Api Indonesia (KAI) Bobby Rasyidin dalam kenyataan berkata data terkini setakat 8.45 pagi waktu tempatan merekodkan 14 kematian, dengan mayat mangsa dibawa ke Hospital Polis Kramat Jati di Jakarta untuk proses pengecaman.
Beliau berkata pos kecemasan dan maklumat telah dibuka di Stesen Bekasi Timur bagi membantu keluarga mendapatkan maklumat mengenai mangsa dan penumpang, manakala perkhidmatan tren di stesen itu masih digantung.
Insiden berlaku lewat Isnin apabila sebuah tren komuter yang berhenti di landasan 1 menuju ke Cikarang dilanggar dari belakang oleh tren jarak jauh yang tiba di landasan sama.
Sebelum ini, KAI mengesahkan semua mangsa yang maut adalah penumpang tren komuter, manakala kesemua 240 penumpang tren jarak jauh Argo Bromo Anggrek terselamat dalam kejadian itu.
Sementara itu, Presiden Indonesia Prabowo Subianto diiringi Menteri Pengangkutan Dudy Purwagandhi melawat mangsa cedera di Hospital Umum Daerah Kota Bekasi pada Selasa bagi memastikan rawatan diberikan secara optimum.
Dalam lawatan itu, Prabowo menyampaikan ucapan takziah kepada mangsa dan keluarga serta menegaskan kerajaan akan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kejadian berkenaan.
“Saya merakamkan ucapan takziah bagi pihak kerajaan. Kami akan segera menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menekankan kepentingan meningkatkan keselamatan pengangkutan, khususnya di lintasan kereta api yang masih berisiko tinggi.
Terdahulu, Ketua Pejabat Mencari dan Menyelamat Jakarta Desiana Kartika Bahari berkata seramai 85 mangsa terselamat direkodkan termasuk yang sedang menerima rawatan dan yang telah dibenarkan pulang selepas mengalami kecederaan ringan.
Desiana berkata pihak berkuasa terus menyelaras usaha bagi menangani kesan insiden itu.
-- BERNAMA