MEKAH: Di Tanah Suci yang sarat dengan doa dan pengharapan, jemaah haji Malaysia termasuk golongan muda diingatkan agar tidak mensia‑siakan peluang terindah dalam hidup mereka hanya kerana terlalu leka dengan media sosial.
Pengarah Operasi Bimbingan Haji Lembaga Tabung Haji (TH), Shahrin Awaluddin, berkata trend kehadiran jemaah muda yang semakin meningkat setiap tahun adalah satu perkembangan positif, namun ia perlu disertai dengan kefahaman mendalam mengenai makna sebenar ibadah haji.
Menurut beliau, golongan muda hadir dengan kelebihan tenaga, kesihatan dan daya tahan fizikal yang baik, namun cabaran utama adalah menjaga fokus dan niat sepanjang berada di Tanah Suci.
“Haji membawa maksud qasad iaitu niat, tujuan dan fokus yang jelas hanya kepada Allah. Apabila berada di sini, jemaah seharusnya memberikan sepenuh perhatian kepada ibadah, bukan melaksanakannya secara sambil lewa,” katanya ketika ditemui di sini.
Beliau mengingatkan bahawa waktu yang dilalui di Mekah dan Madinah adalah sangat terhad dan bernilai, justeru jemaah akan berasa rugi jika masa itu diisi dengan aktiviti yang melalaikan.
“Jika terlalu sibuk dengan media sosial dengan merakam, memuat naik dan mencari perhatian, jemaah sebenarnya melepaskan saat yang tidak mungkin datang kali kedua. Kesempatan ini bukan mudah diperoleh,” katanya.
Shahrin berkata, ibadah utama seperti tawaf, saie dan melontar jamrah memerlukan tumpuan sepenuhnya bukan sahaja dari segi fizikal, tetapi juga mental dan penghayatan rohani.
Menurutnya, setiap langkah di Tanah Suci adalah ruang untuk mendekatkan diri kepada Allah dan memperbaiki hubungan yang sering terabai dalam kesibukan kehidupan seharian.
“Media sosial bukan tidak penting, tetapi jangan sampai ia menjadi gangguan kepada ibadah.
“Gunakan teknologi secara berpada‑pada. Utamakan ibadah, doa, zikir dan refleksi diri sepanjang berada di Mekah dan Madinah,” katanya.
Beliau menambah, jemaah wajar memanfaatkan peluang berada di tanah barakah itu untuk memperbanyakkan munajat agar perjalanan haji meninggalkan kesan mendalam yang berpanjangan selepas pulang ke tanah air.
Dalam perkembangan sama, Shahrin memaklumkan bahawa buat julung kali, teknologi kecerdasan buatan (AI) diperkenalkan dalam sistem bimbingan ibadah haji bagi membantu jemaah mendapatkan panduan yang sahih dan tepat.
Menurut beliau, jemaah yang mempunyai kemusykilan berkaitan ibadah boleh menggunakan platform e‑TAIB Live Chat melalui aplikasi WhatsApp pada bila‑bila masa.
“Pendekatan ini dibangunkan berasaskan keputusan dan panduan Muzakarah Haji. Sekiranya sistem AI tidak dapat memberikan jawapan yang tepat atau memerlukan penjelasan lanjut, pembimbing ibadat haji Tanah Suci (PIHTAS) akan mengambil alih dan menjawab terus persoalan jemaah,” katanya.
Beliau menegaskan, kemudahan teknologi tersebut bukan bertujuan menggantikan peranan ibadah secara langsung, sebaliknya sebagai sokongan agar jemaah dapat menunaikan haji dengan lebih yakin, sah dan sempurna.