KUALA LUMPUR: Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mencuri perhatian apabila hadir secara mengejut dalam sesi perbincangan meja bulat melibatkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan wakil pasukan Liga Malaysia (Liga M), hari ini.
Kehadiran baginda dilihat sebagai isyarat jelas terhadap keseriusan usaha memperkukuh ekosistem bola sepak negara yang ketika ini berdepan pelbagai cabaran, khususnya dari segi kewangan dan pengurusan.
Menerusi siaran langsung yang disiarkan di Facebook rasmi MFL, Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu dilihat memasuki bilik perbincangan sejurus Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Johan Kamal Hamidon mengemukakan pandangan serta cadangan.
Situasi itu menambah dinamik perbincangan apabila baginda sendiri mengambil bahagian secara aktif dalam sesi tersebut.
Dalam pertemuan itu, Tunku Ismail turut menyerahkan satu kertas kerja yang mengandungi cadangan penambahbaikan bagi mengangkat semula standard bola sepak Malaysia.
Baginda menegaskan, terdapat empat isu asas yang perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak berkepentingan.
“Kita semua perlu lihat asas iaitu empat masalah utama dalam bola sepak Malaysia dahulu. Pertama kita tiada pembangunan akar umbi yang kompetitif, kedua saya pernah suarakan pada 2018 iaitu pengadil profesional.
“Ketiga, penaja dan akhir sekali adalah disiplin mengurus kewangan,” titah baginda.
Menurut baginda lagi, kelemahan dalam pengurusan kewangan sering menjadi punca kepada pelbagai masalah lain yang menjejaskan kelangsungan kelab.
“Apabila ada isu kewangan, ada pihak mula buat salah satu benda tidak bertanggungjawab, (iaitu) salahkan FAM dan MFL sedangkan yang mengurus kewangan adalah kelab masing-masing,” tegas baginda.
Sebelum ini, Johan dalam laporan media tempatan mencadangkan agar satu sesi meja bulat diadakan bagi mencari penyelesaian menyeluruh terhadap isu kewangan yang melanda pasukan Liga M.
Cadangan tersebut mendapat reaksi positif daripada beberapa kelab lain yang turut berdepan cabaran sama.
Perkembangan ini berlaku dalam situasi beberapa pasukan bola sepak tempatan berdepan krisis kewangan yang semakin meruncing.
Antara pasukan yang terkesan termasuk Kedah Darul Aman FC, Kelantan FC dan Sri Pahang yang dilaporkan telah ‘gulung tikar’.
Malah, beberapa pasukan Liga Super lain kini dikatakan masih bergelut dengan isu tunggakan gaji pemain dan pegawai.
Terbaharu, Terengganu FC dilaporkan berkemungkinan menarik diri daripada saingan Liga Super dan menyertai Liga A1 Semi Pro, sekiranya masalah kewangan tidak dapat diselesaikan dalam masa terdekat.