Skip to main content

Malaysia

KPDN Pulau Pinang rampas 24,000 liter diesel disyaki diseleweng di Simpang Ampat

https://www.bernama.com/bm/jenayah_mahkamah/news.php?id=2551014
KPDN Pulau Pinang telah menjalankan risikan dan pemantauan selama dua minggu sebelum menyerbu stor yang mendedahkan aktiviti pemindahan diesel. - Bernama/Erma Idayu

NIBONG TEBAL: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang merampas 24,000 liter minyak diesel yang cuba diseleweng bersama dua lori, dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM400,000 dalam satu serbuan di stor berlesen di Simpang Ampat, hari ini.

Pengarahnya S. Jegan berkata pihaknya telah menjalankan risikan dan pemantauan selama dua minggu sebelum menyerbu stor yang mendedahkan aktiviti pemindahan diesel, yang dipercayai untuk dijual kepada sektor industri.

"Pemeriksaan di stor itu mendapati pemiliknya mempunyai lesen yang sah untuk menyimpan diesel dan petrol, namun terdapat kegiatan pemindahan diesel daripada sebuah lori barangan berkapasiti 18 tan yang telah diubah suai tangki asalnya sehingga boleh mengisi 1,000 liter pada satu-satu masa.

"Kami telah menahan pemandu lori, seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun, dan siasatan mendapati dia memperoleh bekalan diesel dari beberapa stesen minyak sekitar negeri ini, sebelum membawanya ke stor berkenaan untuk dipindahkan ke tangki simpanan," katanya kepada pemberita selepas serbuan di stor itu, di sini.

Beliau berkata siasatan pihaknya mendapati diesel yang disimpan kemudian dipercayai dimuatkan ke dalam lori tangki sebelum dihantar kepada pihak industri, kerana dijual pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran.

Dalam serbuan itu, KPDN turut merampas sebuah tangki skid, lori 18 tan yang telah diubah suai, sebuah lori tangki berkapasiti 21,400 liter, satu set motor pam bersama hos paip, serta beberapa dokumen perniagaan berkaitan dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM400,000.

Jegan berkata pihaknya percaya sindiket itu telah menjalankan kegiatan itu, sejak beberapa bulan lepas walaupun syarikat pemborong minyak yang menggunakan stor itu mempunyai lesen sah hingga 2028.

"Kita telah panggil pemilik syarikat itu untuk hadir bagi memberikan penjelasan dan menyerahkan dokumen berkaitan jual beli diesel itu, tetapi hingga 5 petang tiada sesiapa yang muncul, jadi kami percaya kegiatan pemindahan minyak di situ ketika ini adalah untuk diseleweng bagi mengaut keuntungan mudah,” katanya.

Kes itu disiasat di bawah Peraturan 3(1), Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 11 Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 kta Kawalan Bekalan 1961.

Beliau berkata siasatan akan diteruskan bagi mengenal pasti individu atau syarikat lain yang terlibat dalam rangkaian pengedaran diesel itu, termasuk sumber bekalan dan pihak yang menerima bahan api berkenaan.

-- BERNAMA 

Must Watch Video