KUALA LUMPUR: Kemelut politik membabitkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dilihat bakal menentukan hala tuju hubungan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Pengarah Eksekutif ILHAM Centre, Hisomuddin Bakar berkata, perkembangan itu akan memberi tekanan kepada BN dan UMNO untuk menyatakan pendirian yang lebih jelas berhubung strategi politik mereka selepas ini.
“Jika kita teliti kronologi sebelum ini, UMNO negeri Kedah pernah meminta diberikan autonomi untuk bertanding solo, perkara ini turut berlaku di UMNO Melaka dan juga Johor.
“Apabila berlaku krisis politik Negeri Sembilan ini, saya menganggap ia satu turning point untuk UMNO dan BN supaya menyatakan secara jelas kedudukan serta strategi mereka,” katanya dalam program Buletin Awani Khas, di sini, pada Rabu.
Menurut Hisomuddin, persoalan utama ketika ini, adakah BN mahu terus mengekalkan rentak kerjasama bersama PH dalam Kerajaan Perpaduan atau mula mempertimbangkan formula baharu menghadapi PRU16?
“Sekiranya ingin kekal dengan Pakatan Harapan, saya rasa ini juga titik mula kedua-dua parti (BN dan PH) untuk menilai kembali dan bermuhasabah,” jelasnya.
Tambahnya, kemelut DUN di Negeri Sembilan mendedahkan kewujudan jurang komunikasi antara parti BN dan PH dalam Kerajaan Perpaduan, khususnya di peringkat akar umbi serta negeri.
“Wujud kelompangan, misalnya mesyuarat antara BN dan PH tidak kerap berlaku dalam Kerajaan Perpaduan untuk mereka membincangkan isu atau perkara melibatkan pentadbiran pusat mahupun negeri.
“Mesyuarat itu mungkin berlaku di peringkat kerajaan pusat, tetapi pada pemerhatian saya perkara ini tidak berlaku di peringkat negeri, bahagian ataupun akar umbi.
"Hubungan antara ahli UMNO dan ahli Pakatan Harapan itu tidak begitu harmoni,” katanya.
Perkara ini boleh memberi imej bercanggah kepada penyokong kedua-dua gabungan sekiranya isu berbangkit gagal diselesaikan secara tersusun.
Mengulas kemungkinan pembentukan kerajaan negeri baharu sekiranya BN bekerjasama dengan Perikatan Nasional, Hisomuddin berkata keputusan sedemikian tidak boleh dibuat secara bersendirian oleh kepimpinan negeri, sebaliknya harus ditentukan oleh UMNO pusat.