Skip to main content

Bisnes

Bursa Malaysia ditutup rendah ekoran pengambilan untung di kaunter berkaitan minyak

61757402235_BursaMalaysia.jpg
Pada 5 petang, FBM KLCI yang menjadi indeks penanda aras turun 9.18 mata atau 0.53 peratus kepada 1,720.42 daripada 1,729.60 ketika ditutup semalam. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah pada Rabu apabila pelabur mengambil untung di kaunter berkaitan minyak selepas Emiriah Arab Bersatu (UAE) dilaporkan memutuskan untuk keluar daripada Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata penurunan Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI)  hari ini turut selari dengan prestasi semalaman yang hambar di Wall Street.

Beliau berkata prestasi Wall Street itu berikutan kalangan pelabur mengambil pendekatan lebih defensif susulan akan bermulanya mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizah Persekutuan (FOMC) AS hari ini.

Pada 5 petang, FBM KLCI yang menjadi indeks penanda aras turun 9.18 mata atau 0.53 peratus kepada 1,720.42 daripada 1,729.60 ketika ditutup semalam.

Indeks itu dibuka 2.05 mata lebih tinggi kepada 1,731.65 dan bergerak dalam julat 1,718.45 hingga 1,733.84 sepanjang sesi dagangan.

Lingkungan pasaran agak suram dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 617 berbanding 485, manakala 619 kaunter tidak berubah, 970 kaunter tidak diniagakan dan 112 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 3.63 bilion unit bernilai RM3.13 bilion daripada 3.85 bilion unit bernilai RM3.38 bilion pada Selasa.

Mohd Sedek berkata sentimen semasa menambah lagi ketidaktentuan terhadap pasaran tenaga global, di samping turun naik ketara yang baharu dalam ekosistem kecerdasan buatan, terus mendorong aktiviti pengurangan risiko berpotensi secara berkala merentas segmen teknologi dan berkaitan pertumbuhan.

“Tekanan jualan pula menyeluruh, didahului pembetulan ketara dalam saham wajaran tinggi perbankan, dengan semua konstituen kewangan FBM KLCI ditutup rendah.

“Ini menunjukkan penyesuaian semula berterusan bagi jangkaan terhadap kadar faedah, memandangkan pasaran semakin mengambil kira laluan dasar dengan kadar faedah yang tinggi untuk tempoh lebih lama,” katanya.

Mohd Sedek berkata sektor perbankan, yang menyokong daya tahan indeks melalui kestabilan pendapatan dan pengembangan margin baru-baru ini, kini menghadapi cabaran jangka masa pendek.

“Ini susulan penilaian semula jangkaan bagi pengurangan kadar faedah dan normalisasi secara beransur-ansur dalam dinamik margin faedah bersih,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata jualan hari ini membuka peluang untuk pelabur membeli saham mewah pada harga lebih menarik, khususnya dalam sektor yang secara asasnya defensif dan kukuh.

“Walaupun sentimen masih berhati-hati dalam jangka masa terdekat disebabkan ketidaktentuan luaran namun sokongan asas terhadap indeks menunjukkan penurunan mungkin dikekang oleh pengumpulan terpilih.

“Dalam tempoh terdekat, kami menjangkakan FBM KLCI berada dalam fasa konsolidasi dengan kecenderungan meningkat secara sederhana, disokong oleh pembelian pada harga murah dan mudah tunai domestik yang kukuh,” katanya.

Thong berkata pihak menjangkakan indeks penanda aras bergerak dalam julat 1,710 hingga 1,730 bagi dagangan esok.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank susut 18 sen kepada RM11.04, CIMB turun sembilan sen kepada RM7.69, Public Bank kurang tiga sen kepada RM4.75, manakala Tenaga Nasional naik lapan sen kepada RM14.60, dan IHH Healthcare kekal pada RM8.81.

Bagi kaunter paling aktif, Borneo Oil mendatar pada setengah sen, UEM Sunrise meningkat 3.5 sen kepada 68.5 sen, MRCB naik tiga sen kepada 36.5 sen, Velesto Energy menokok 2.5 sen kepada 34.5 sen, dan Zetrix AI turun setengah sen kepada 85.5 sen.

Antara kaunter paling untung, Nestle melonjak 60 sen kepada RM102.90, Malaysian Pacific Industries menambah 50 sen kepada RM38.00, Bintulu Port meningkat 30 sen kepada RM5.65, UMS Integration menokok 20 sen kepada RM6.90, dan IOI Properties naik 16 sen kepada RM4.15.

Bagi kaunter paling rugi, Hong Leong Industries merosot 30 sen kepada RM17.50, Petronas Dagangan turun 26 sen kepada RM20.30, Sam Engineering susut 21 sen kepada RM3.97, Petronas Gas rkurang 14 sen kepada RM17.82, dan UWC menguncup 11 sen kepada RM5.01.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 55.54 mata kepada 12,743.20, Indeks FBM Top 100 turun 62.71 mata kepada 12,571.62, Indeks FBM Emas Syariah kurang 21.35 mata kepada 12,707.84, Indeks FBM Mid 70 susut 71.87 mata kepada 18,198.10, manakala Indeks FBM ACE naik 6.95 mata kepada 4,663.49.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga naik 13.73 mata kepada 845.06, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 176.82 mata kepada 19,984.81, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.68 mata kepada 195.13, dan Indeks Perladangan menguncup 12.67 mata kepada 8,817.79.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun sedikit kepada 2.23 bilion unit bernilai RM2.86 bilion daripada 2.25 bilion unit bernilai RM3.07 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran sebanyak 1.05 bilion unit bernilai RM134.02 juta berbanding 1.18 bilion unit bernilai RM161.79 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE pula berkurangan kepada 342.76 juta unit bernilai RM131.74 juta daripada 415.85 juta unit bernilai RM152.85 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 205.36 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, diikuti produk dan perkhidmatan perindustrian (589.10 juta), pembinaan (243.98 juta), teknologi (248.78 juta), perkhidmatan kewangan (60.34 juta), hartanah (361.10 juta), perladangan (33.76 juta), amanah pelaburan hartanah (14.35 juta), dana tertutup (13,500), tenaga (257.77 juta), penjagaan kesihatan (100.87 juta), telekomunikasi dan media (52.19 juta), pengangkutan dan logistik (34.67 juta), utiliti (37.01 juta), dan amanah perniagaan (11,100).

-- BERNAMA

Must Watch Video