Skip to main content

Malaysia

Renang berirama digugur daripada Sukma 2026

SHAH ALAM, 27 April -- Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor Mohd Najwan Halimi semasa sidang media mengenai Selangor perkasa Ekosistem Platform Selangor (PLATS) sebagai intervensi responsif krisis untuk usahawan dan perkembangan penganjuran SUKMA Selangor 2026 di Wisma Dewan Negeri Selangor hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Mohd Najwan berkata ini menjadikan jumlah acara yang dipertandingkan kini menjadi 469 berbanding 474 acara sebelum ini. - Gambar fail

SHAH ALAM: Acara renang berirama digugurkan daripada dipertandingkan pada Sukan Malaysia (Sukma) 2026, yang dijadualkan 15 hingga 24 Ogos ini.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi berkata ini menjadikan jumlah acara yang dipertandingkan kini menjadi 469 berbanding 474 acara sebelum ini.

“Perkara ini telah kita putuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Tertinggi Sukma 2026 baru-baru ini. Hal ini kerana dari segi syarat pertandingan, (sesuatu acara) mestilah disertai sekurang-kurangnya enam negeri.

“Acara renang berirama ini tidak cukup penyertaan daripada negeri-negeri. Jadi, pihak Jawatankuasa Tertinggi Sukma memutuskan untuk menggugurkan acara ini daripada dipertandingkan,” katanya kepada pemberita selepas Program Larian Obor Sukma ke-22 dan Para Sukma (Sukan Para Malaysia) Selangor 2026 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Sukma ke-22 dan Para Sukma Selangor 2026 itu bagaimanapun berkata penganjuran temasya dwitahunan kebangsaan itu masih mempertandingkan 37 jenis sukan seperti sebelum ini.  

Mohd Najwan berkata tarikh temasya Sukma dan Para Sukma serta 52 fasiliti penganjuran masih dikekalkan seperti yang diumum sebelum ini.

Beliau berkata kerajaan negeri akan melaksanakan langkah penjimatan dengan mengurangkan hampir separuh daripada kos asal penganjuran iaitu RM100 juta sebelum ini kepada kira-kira RM40 juta hingga RM50 juta.

Dalam pada itu, majlis perasmian Sukma 2026 yang sebelum ini dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang akan ditukar ke lokasi yang belum diputuskan dan dilaksanakan dalam skala kecil.

Selain acara keraian, pengurangan kos turut melibatkan pengecilan skop sukarelawan daripada sasaran asal 30,000 orang kepada bawah 5,000 orang manakala kemudahan sukan sedia ada akan digunakan sepenuhnya tanpa melibatkan pembinaan infrastruktur baharu.

“Untuk ini kita akan melaksanakan mesyuarat jawatankuasa pelaksana melibatkan jabatan dan pejabat kerajaan untuk dapatkan keputusan bersama dalam masa terdekat,” katanya.

Mengenai program hari ini, Mohd Najwan berkata larian itu bagi mempromosikan temasya Sukma dan Para Sukma dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjadi hos pertama program yang dianjurkan bersama acara Hari Tanpa Kenderaan peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut. 

“Larian obor kali ini akan dikendalikan oleh 12 PBT di seluruh negeri dengan MBSA menjadi pembuka program hari ini dan akan melabuhkan tirai di D’Pulze Cyberjaya dengan pelaksanaan oleh Majlis Perbandaran Sepang,” katanya.

Sebelum ini, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah penganjuran Sukma Selangor 2026 wajar ditangguhkan sehingga krisis di Asia Barat selesai dan sehingga pembangunan semula Stadium Shah Alam siap sepenuhnya.

Bagaimanapun, Sultan Sharafuddin perkenan temasya sukan itu diteruskan secara berhemat setelah menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video