Skip to main content

Malaysia

Program Road to Gold akan bermesyuarat Mei ini - Menteri

RTG, Dr. Mohammed Taufiq Johari, Velodrom
Dr Mohammed Taufiq (kiri) berbincang dengan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang selepas mengadakan sesi Lawatan ke Velodrom Nilai, pada Jumaat. - Gambar Astro AWANI

NILAI: Program Road to Gold (RTG) dijangka mengadakan mesyuarat pada Mei ini bagi menilai semula hala tuju serta strategi pembangunan sukan negara.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, perbincangan itu akan melibatkan penilaian menyeluruh terhadap program berkenaan termasuk perancangan masa depan.

Menurut beliau, mesyuarat tersebut juga akan mengambil kira sebarang penambahbaikan susulan perubahan dalam kepimpinan kementerian.

“RTG kita akan bermesyuarat pada bulan Mei ini, insya-Allah kita akan melihat dan menilai apa juga berkenaan dengan sukan-sukan dan strategi kita yang akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas mengadakan sesi Lawatan ke Velodrom Nilai, di sini, pada Jumaat.

Beliau menambah, sebarang keputusan termasuk perubahan atau langkah baharu akan diumumkan selepas mesyuarat berkenaan.

“Apa juga perubahan ataupun langkah seterusnya akan kita umumkan selepas mesyuarat itu,” ujarnya.

Dalam masa sama, Taufiq menyatakan keyakinan terhadap keberkesanan program RTG dalam membantu atlet negara mencapai prestasi terbaik di peringkat antarabangsa.

Beliau turut menegaskan, kepentingan pembangunan pelapis atlet bagi memastikan kesinambungan kecemerlangan sukan negara serta mengelakkan jurang generasi.

“Yang paling penting sekarang adalah untuk kita menyediakan pelapis-pelapis atlet kita, kita tidak boleh ada jurang yang besar.

“Atlet-atlet ini juga perlu menjadi ejen untuk memberikan semangat kepada anak muda dan rakyat Malaysia, menyemarakkan semangat patriotisme serta menjadi ejen perpaduan yang menyatukan kita semua,” katanya.

Program RTG merupakan inisiatif utama kerajaan dalam melahirkan atlet berprestasi tinggi bagi mengharumkan nama negara di pentas dunia.

Must Watch Video