Skip to main content

Malaysia

Piala Dunia: Skuad sepak takraw negara tidak pandang ringan acara kuadran

KUALA LUMPUR, 15 April -- Ketua Jurulatih Skuad Sepak Takraw Ahmad Jais Baharun ketika sidang media selepas Pelancaran dan Pengundian TM ISTAF Sepak Takraw Piala Dunia Kuala Lumpur 2026 di Kompleks Akademi Sepak Takraw , hari ini._BERNAMA
Ahmad Jais berkata Korea Selatan dan India antara pasukan yang memberi penekanan terhadap acara kuadran sekali gus menuntut skuad negara tampil dengan persiapan lebih rapi. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Malaysia tetap memberi perhatian serius terhadap acara kuadran yang julung kali dipertandingkan pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di sini bulan depan, meskipun tumpuan utama terarah kepada acara regu dan regu berpasukan.

Ketua jurulatih skuad sepak takraw kebangsaan Ahmad Jais Baharun berkata cabaran dalam acara kuadran tidak boleh dipandang ringan terutama selepas Malaysia diundi dalam Kumpulan C bersama India, Korea Selatan dan Singapura.

Beliau berkata Korea Selatan dan India antara pasukan yang memberi penekanan terhadap acara kuadran sekali gus menuntut skuad negara tampil dengan persiapan lebih rapi.

"Dari segi undian sangat mencabar bagi Kumpulan C apabila kita diundi bersama Korea Selatan dan India yang memang kita tahu kedua-dua pasukan ini memang lebih beri fokus kepada acara kuadran. Kita juga tidak boleh pandang rendah Singapura kerana mana-mana pasukan mampu beri cabaran.

"Kita akan lihat bagaimana boleh berikan saingan hebat kepada Korea Selatan dan India...dalam acara kuadran ia memerlukan lebih dari aspek pertahanan dan juga serangan," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Pada masa sama, Ahmad Jais berkata keputusan pada Kejohanan Sepak Takraw Asia di Nagoya, Jepun Februari lepas yang merupakan kejohanan pra Sukan Asia 2026, menunjukkan tahap persaingan sengit dalam acara itu menjelang saingan Piala Dunia kali ini.

Pada kejohanan di Nagoya, pingat emas acara kuadran dimenangi India sementara Jepun membawa pulang perak dan Malaysia terpaksa berpuas hati dengan gangsa.

"Semasa kejohanan pra Sukan Asia, kita tewas kepada pasukan India (saingan kumpulan) menerusi tie-break. Kita menang dengan pasukan Korea Selatan (saingan kumpulan) pun tie-break.

"Jadi ini memberikan satu isyarat kepada pasukan kita supaya mereka lebih kuat bekerja, kuat belatih dan juga mencari bagaimana cara untuk kita memperbaiki prestasi supaya kita dapat mempamerkan satu prestasi lebih baik berbanding kejohanan di Nagoya tempoh hari,” kata Ahmad Jais.

Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 dijadual berlangsung di Stadium Titiwangsa dari 16 hingga 23 Mei.

Dalam acara kuadran yang semakin berkembang sejak diperkenalkan pada Sukan Asia 2018 di Indonesia, setiap pasukan perlu menurunkan empat pemain dalam gelanggang berbanding tiga dalam acara regu bagi menambah variasi dan daya saing permainan.

Format itu menjadikan permainan lebih dinamik dan kompleks secara taktikal, dengan penekanan kepada keseimbangan pertahanan dan serangan serta keserasian tinggi pemain berikutan keluasan kawasan lebih luas dan kepelbagaian pilihan serangan yang boleh dihasilkan.

-- BERNAMA

Must Watch Video